Jumaat, 8 Ogos 2008

Najib, Umno Permatang Pauh bincang strategi pilihan raya kecil
Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

PETALING JAYA: Umno Bahagian Permatang Pauh hari ini mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya kecil 26 Ogos ini.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil berkata, pertemuan lebih sejam itu, bermula kira-kira pukul 2 petang, berlangsung di pejabat Najib di Putrajaya.

“Pertemuan itu membincangkan persediaan dan pelaksanaan jentera kami di Permatang Pauh untuk menghadapi pilihan raya kecil nanti.

“Hasil mesyuarat itu, kami mahu memastikan kesemua pelaksanaan berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, hari.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdullah.

Ditanya mengenai namanya yang dicadangkan kepada pucuk pimpinan Umno sebagai calon tunggal anak tempatan untuk menentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Jalil berkata, keputusan itu dibuat bahagian untuk mengelakkan perpecahan di kalangan ahli Umno kawasan itu.

“Kita tidak mahu belum pun pilihan raya berlangsung, kita sudah berpecah belah.

“Kita tidak mahu tunjukkan kelemahan itu dan Bahagian telah sebulat suara untuk mencadangkan nama saya dan langkah ini menunjukkan yang kita bersatu hati.

“Bagaimanapun, saya tetap menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, selepas pengumuman tentang pilihan raya itu dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, persediaan sudah pun dimulakan.

“Persediaan peringkat awal sudah ada dan sebahagian jentera kita dari pusat juga sudah mula berkampung di Permatang Pauh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Pirdaus Ismail berkata, semangat di kalangan ahli jentera pilihan raya kawasan tersebut sudah lama wujud dan kini mereka semua bersedia untuk menunggu hari penamaan calon.

“Esok, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan datang ke Permatang Pauh untuk memberikan taklimat mengenai pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa pilihan raya bahagian itu juga sudah dibentuk dan telah melantik Abdul Jalil sebagai pengerusi sementara beliau sebagai timbalan pengerusi.

Tiada ulasan: