Jumaat, 15 Ogos 2008

Mesyuarat Majlis Tertinggi BN malam ini dibatalkan
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan pada jam 8 malam ini telah dibatalkan kerana BN kini ingin menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil Permatang Pauh yang bakal berlangsung 26 Ogos ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika dihubungi mStar Online berkata, berikutan nama calon yang mewakili BN telah diumumkan semalam, maka mesyuarat pada malam ini tidak perlu diadakan.

"Kita sudah nak pilihan raya, buat apa nak mesyuarat (malam ini) lagi?

"Malam tadi nama calon sudah pun diumumkan, jadi tidak perlu mesyuarat untuk membincangkannya," katanya.

Semalam, Tengku Adnan memberitahu mStar Online, mesyuarat tersebut akan berlangsung malam ini di Menara Dato' Onn, namun beliau enggan mengulas tentang perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat.

Malam tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, dipilih sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Najib yang juga Pengarah pilihan raya kecil itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau sudah memperhalusi dan membuat pertimbangan dari pelbagai sudut dan kriteria untuk memilih calon BN bagi menentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada ulasan: