Isnin, 3 Ogos 2020

Aktivis gesa tubuh unit integriti perangi rasuah perniagaan

PETALING JAYA: Sebuah Unit Integriti dan Tadbir Urus perlu ditubuhkan untuk memerangi rasuah serta penyelewengan lain di sektor swasta, kata seorang aktivis anti-rasuah hari ini.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Akhbar Satar berkata unit itu perlu ditugaskan untuk menambah baik dasar dan sistem sedia ada, selain memantau program penguatkuasaan serta kesedaran.

Beliau berkata, amalan perniagaan tidak beretika dalam kalangan syarikat besar boleh merosakkan ekonomi dan institusi negara.

Katanya, perniagaan dengan amalan tidak beretika boleh mempengaruhi kerajaan untuk mengikut keinginan mereka.

“Kegiatan seperti itu boleh menghakis integriti, mengurangkan kepercayaan warganegara dan menghakis kedaulatan undang-undang yang akhirnya menjejaskan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Akhbar berkata, sektor swasta perlu mengamalkan “penjarakan rasuah” daripada sektor kerajaan.

“Kebenarannya ialah jika tidak ada pemberi, maka tiada yang mengambil. Pelaku sebenarnya ialah pemberi rasuah dan menawarkan ganjaran menarik untuk merasuah pegawai awam sebagai balasan mendapat kontrak atau kelebihan tidak adil berbanding pesaing mereka.”

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan terdapat tahap rasuah membimbangkan dalam sektor komersial dan perniagaan.

Akhbar berkata, sejak 5 tahun lalu, SPRM menahan lebih 800 individu akibat kes rasuah membabitkan organisasi komersial dengan berbilion ringgit aset haram dirampas.

Tiada ulasan: