Isnin, 3 Ogos 2020

Peguam Najib dilepas tanpa bebas, akan hadapi dakwaan baru di mahkamah rendah

Mohd Hafarizam Harun pada 21 Feb 2019 mengaku tidak bersalah terhadap
2 pertuduhan pengubahan wang membabitkan RM15 juta yang didakwa diterima
daripada bekas perdana menteri, Najib Razak dan dimasukkan ke akaun firma
guamannya.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan satu petisyen untuk peguam Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kerana pertuduhan baru akan difailkan di Mahkamah Sesyen.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan Mohd Hafarizam Harun menarik balik satu permohonan untuk membatalkan kelayakannya susulan perkembangan itu.

“Selepas mendengar daripada pendakwaan, saya membenarkan DNAA bagi 2 pertuduhan itu di mahkamah ini supaya dakwaan baru boleh difailkan.”

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Ismail memberitahu Nazlan yang pendakwaan memohon DNAA supaya dakwaan baru boleh difailkan di mahkamah rendah.

Permintaan untuk menarik balik permohonan membatalkan kelayakan Nazlan kemudiannya dibuat peguam Hafarizam, Hasnal Rezua Merican.

“Kami ingin menarik diri, tetapi dengan kebebasan untuk memfailkan (dakwan) semula.”

Perbicaraan Hafarizam dijadualkan berlangsung mulai hari ini hingga 19 Ogos ini.

Pada 21 Feb 2019, Hafarizam mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan pengubahan wang membabitkan RM15 juta yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri, Najib Razak dan dimasukkan ke akaun firma guamannya.

Beliau didakwa terbabit secara langsung dalam 2 transaksi hasil aktiviti haram berjumlah RM11.5 juta menerusi 2 keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke akaun Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di CIMB Bank Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank cawangan PWTC di Suite 1, Tingkat 5, Menara Datuk Onn, Jalan Tun Ismail di sini antara 16 April dan 4 Nov 2014.

Hafarizam turut didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan RM3.5 juta menerusi sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke firma guaman sama di tempat sama pada 12 Feb 2015.

Dakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda 5 kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: