Ahad, 23 Februari 2020

LTTE: Tindakan Khalid Samad bela AG, angkat seperti hero dibidas

siti hafidah

 

Seolah pertikaikan kewibawaan pihak polis dalam bertindak


BANGI – Tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengucapkan tahniah kepada peguam negara kerana membuat keputusan ‘berani’ menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang berdepan pertuduhan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) amat tidak sesuai dengan jawatan beliau sebagai menteri.

Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, tindakan itu seolah-olah mempertikaikan kewibawaan pihak polis dalam bertindak.

“Ketika seluruh rakyat termasuk sebahagian pimpinan kerajaan mengutuk dan menzahirkan kekecewaan mereka terhadap sikap peguam negara, tetapi Khalid Samad pula membela dan mengangkatnya seperti hero.

“Baru sahaja hari ini, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian atas ketidaksetujuannya dengan Tommy Thomas.

“Apakah autoriti Khalid Samad selaku Menteri Wilayah Persekutuan dalam isu ini walhal yang mengetahui secara terperinci mengenai kes ini adalah pihak KDN dan polis?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Khalid di Twitter yang menyifatkan tindakan peguam negara menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang berdepan pertuduhan berkaitan LTTE semalam sebagai keputusan berani dan tepat.

“Tahniah atas keputusan yang berani lagi tepat dalam suasana yang sengaja dikelirukan oleh golongan ekstrimis Melayu dan muslim kanan terlajak.

“Pihak kerajaan mesti bertindak profesional, mementingkan keadilan tanpa tunduk kepada nafsu serakah golongan kanan terlajak ini,” demikian tulis Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah).

Haji Aminuddin berkata, Khalid juga menghina orang Islam yang tidak bersetuju dengan Tommy dengan melabelkan mereka sebagai golongan ‘terlajak kanan’.

“Apa maksud beliau dengan ‘terlajak kanan’ itu? Kenapa Tommy yang melakukan onar, tetapi umat Islam pula dipersalahkan?

“Saya ingin cadangkan kepada Khalid Samad dan semua menteri Pakatan Harapan supaya melihat pada fakta dan bukan membuat kenyataan-kenyataan semborono kerana itu sangat memalukan dan tidak professional!,” bidas beliau.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Bahkan katanya, keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.


Tiada ulasan: