Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata, lebih malang apabila kehadiran mereka secara aman dilayan dengan tidak wajar oleh pihak polis termasuk dikasari dengan perisai dan cota milik Unit Tempur Ringan (LSF).
“Namun demikian, berlaku pergelutan antara kami dan pihak polis. Sekelip mata, kami dirempuh oleh pasukan polis. Mereka menghalang kami daripada masuk.
“Apakah salah kami dilayan sebegini rupa? Selepas bertempur, ada antara kami yang terjatuh, dan akhirnya selepas pergelutan ini barulah wakil kami dibenarkan masuk untuk berjumpa dengan Datuk Seri Anwar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, himpunan ‘Tuntut Kembalikan Subsidi Petrol Rakyat’ di luar bangunan Parlimen bertukar menjadi kecoh apabila sekumpulan peserta demostrasi itu bertindak nekad melalui halangan polis di pintu pagar Parlimen.
Belum pun peserta himpunan menghampiri pagar Parlimen, sekumpulan mahasiswa yang melakukan protes kenaikan yuran pengajian di tempat sama meluru dan cuba merempuh halangan polis.
Dalam pada itu, A’zlan juga berasa kesal apabila Anwar enggan meluangkan sedikit masa menemui mereka meskipun Presiden PKR itu berada dalam Dewan Rakyat bagi mengambil bahagian dalam pembentangan Belanjawan 2020.
“Tetapi keadaannya tetap hampa dan malang sekali. Kami kesal kerana ternyata hero rakyat (Anwar) ini tidak mahu berjumpa kami.
“Memandangkan Anwar tidak mahu meminjamkan lima minit yang beliau ada untuk mendengar keluhan rakyat ini, tidak apa, tidak mengapa. Kami Tuntut bukanlah peminta sedekah.
“Kami hanya perjuangkan suara rakyat. Kerajaan tolonglah jangan bertindak zalim kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan