Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenakan 35 pertuduhan ke atas
bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman kerana menerima RM263 juta
rasuah yang dikatakan berkaitan kontrak pembalakan.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen (11a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang merujuk kepada kesalahan memberi atau menerima suapan oleh ejen.
Daripada 35 pertuduhan itu, nama salah seorang kenalan Musa, Chia Tien Foh disebutkan 16 kali.
Perbicaraan dijalankan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob.
Musa berdiri selama kira-kira 45 minit sepanjang tempoh tuduhan ke atasnya dibacakan.
Bagaimanapun peguam bela Musa, Amer Hamzah Arshad memohon hakim mengurangkan jumlah ikat jamin.
Alasan yang diberikan, Musa, 67, sebelum ini memberi kerjasama kepada SPRM dan turut pulang ke negara ini dari London untuk membantu siasatan.
"Pada Jumaat lalu beliau menerima notis yang mengarahkannya datang ke SPRM pada hari Isnin dengan menyangka beliau perlu memberi keterangan dan tidak mengetahui akan ditahan.
"Beliau sedia datang dan ditahan sebelum dibawa ke mahkamah.
"Ikat jamin tidak sepatutnya keterlaluan kerana anak guam saya memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan," kata Amer Hamzah.
Seorang lagi peguam bela Musa, Ridha Abdah Subri, berkata Musa tidak berisiko melarikan diri kerana kerajaan sudah mengenakan sekatan perjalanan ke atasnya.
Rozina kemudian menetapkan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.
Separuh daripada bayaran ikat jamin itu perlu diselesaikan hari ini dan selebihnya selewat-lewatnya Rabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan