Isnin, 16 Julai 2018

Kementerian Kesihatan tamatkan kontraktor projek sakit di Besut

 
Menteri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian memberi amaran 5 kali kepada kontraktor kerana gagal mematuhi piawaian dan tempoh yang ditetapkan.
 
 
 



KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesihatan hari ini mengarahkan perkhidmatan kontraktor projek pembinaan klinik kesihatan Kampung Raja di Besut, Terengganu ditamatkan serta-merta.

Menteri Dr Dzulkefly Ahmad berkata projek itu merupakan antara 24 “projek sakit” dikesan oleh kementerian yang mengeluarkan amaran sebanyak 5 kali sebelum ini kepada kontraktor Zimacon Sdn Bhd kerana gagal mematuhi piawaian dan tempoh yang ditetapkan.

Projek yang bermula pada 2017 itu sepatutnya siap 3 Februari 2019 dengan kemajuan pembinaannya sepatutnya mencapai 59% setakat ini namun didapati hanya 29% sahaja siap walaupun kira-kira RM9 juta dibayar.

“Kami dapati kontraktor projek ini mempunyai kelemahan termasuk dari segi kewangan dan mereka tidak akan dapat baiki keadaan dalam masa terdekat. Tindakan tegas terhadap kontraktor projek ini diharap menjadi pengajaran bagi kontraktor lain yang membina infrastruktur hospital dan klinik supaya mereka akan memberi tumpuan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat daripada pegawai kanan Kementerian Kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dzulkefly berkata kementerian bertekad memperbaiki infrastruktur hospital dan klinik dalam tempoh 5 tahun akan datang dan menegaskan, keputusan yang sama juga akan diambil terhadap kontraktor di negeri lain susulan pelbagai aduan yang diterima sejak Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan.

“Dengan keperluan yang sangat menekan seperti keperluan katil pesakit, apabila berlaku masalah projek tidak siap seperti ini ia akan memberi tekanan kepada hospital berhampiran termasuk berlaku kesesakan pesakit.

“Kontraktor sepatutnya melipatgandakan komitmen mereka dan memenuhi waktu ditetapkan. Mereka perlu menunjukkan kewibawaan untuk penuhi keyakinan atas pepercayaan kepada mereka,” katanya yang sebelum ini memberi amaran kepada kontraktor projek Hospital Petra Jaya, Kuching Sarawak.

Berikut merupakan senarai “projek sakit” melibatkan 12 klinik, 10 hospital dan 2 kuarters yang dikesan pihak kementerian di seluruh negara dan kontraktor terbabit akan diberi amaran tegas.

Klinik: Puchong; Gombak Setia; Gial; Air Tawar; Kota Setar; Nilai; Taman Ungku Tun Aminah; Sungai Tekam; Kampung Raja Besut; Karak; Nanga Kemalih dan Long Napir.

Hospital: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (obstetrik), Kelang; Hospital Raja Permaisuri Bainun (bahagian kardiologi) Perak; Hospital Pulau Pinang (fasa 2) dan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang; Hospital Rembau, Negeri Sembilan; Hospital Kemaman, Terengganu; Hospital Kuala Krai, Kelantan; Blok Psikiatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu; Hospital Petra Jaya dan Hospital Sri Aman (Sarawak).

Kuarters: Cameron Highlands dan Nabawan, Sabah.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: