Jumaat, 20 Julai 2018

HFMD: Kementerian sahkan tiada sekolah ditutup di Selangor

 
Berdasarkan pemantauan bagi tahun 2018 sehingga kini tidak berlaku sebarang penutupan sekolah mahupun kelas di seluruh negeri itu akibat jangkitan HFMD.


Noor Hisham Abdullah berkata, hanya 2 kluster HFMD dilaporkan berlaku di 2 sekolah berasingan dan kedua-duanya tidak ditutup kerana tidak berlaku pendedahan jangkitan HFMD kepada murid lain. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini berkata tiada sebuah pun sekolah di Selangor ditutup akibat jangkitan penyakit tangan, kaki dan dan mulut (HFMD).

Sambil menyifatkan dakwaan tersebut serius, kenyataan itu juga menyebut berdasarkan pemantauan dijalankan bagi tahun 2018 sehingga kini tidak berlaku sebarang penutupan sekolah mahupun kelas di seluruh negeri itu akibat jangkitan HFMD.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya 2 kluster HFMD dilaporkan berlaku di 2 sekolah berasingan dan kedua-duanya tidak ditutup kerana tidak berlaku pendedahan jangkitan HFMD kepada murid lain.

“Sekolah atau kelas terlibat tidak ditutup kerana mengambil kira hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan yang mendapati tiada pendedahan risiko jangkitan HFMD kepada murid lain,” katanya.
Beliau meminta orang ramai menyemak terlebih dahulu maklumat berkaitan HFMD sebelum mempercayainya, terutama maklumat tidak tepat dikeluarkan pihak lain selain KKM.

“Orang ramai diminta tidak menyebarkan berita tidak tepat tanpa mendapat pengesahan KKM terlebih dahulu,” katanya,

Beliau berkata bilangan kes HFMD akan terus meningkat berikutan kesedaran ibu bapa membawa anak yang mengalami gejala HFMD berjumpa pengamal perubatan bagi mendapatkan nasihat dan rawatan.

Noor Hisham berkata, HFMD adalah penyakit yang perlu dinotifikasikan kepada pihak berkuasa kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Setakat ini katanya, tidak ada kematian disebabkan HFMD atau enterovinus 71 (EV71) dilaporkan di seluruh negara.

Beliau berkata, orang ramai khususnya ibu bapa, pengusaha taska dan tadika serta guru-guru dinasihatkan untuk sentiasa menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan
persekitaran termasuk mencuci tangan dengan betul kepada anak dan murid-murid.

Selain saringan di pintu masuk taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah (gate keeping), ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memeriksa anak setiap pagi sebelum dihantar ke pusat-pusat tersebut.

“Kalau beliau, kiranya anak menunjukkan sebarang gejala atau tanda jangkitan penyakit,
dinasihatkan agar membawa anak untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran.

“Sekiranya anak ini bergejala, janganlah dibenarkan mereka menghadiri tempat belajar atau berkunjung ke tempat awam bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain.

Sebanyak 33,425 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara sehingga semalam dengan kebanyakan negeri kecuali Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas.

Noor Hisham Abdullah berkata pada minggu ke-29 tahun ini iaitu sehingga semalam sebanyak 722 kes dilaporkan dan Selasa lalu sebanyak 18 premis yang ditutup melibatkan 6 taska dan 12 tadika.

Katanya kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit termasuk HFMD memerlukan peranan aktif semua pihak dan ia hendaklah bermula dari diri sendiri dan di rumah.

Tiada ulasan: