Isnin, 30 Julai 2018

Azmin masih anggap Rafizi anggota 'keluarga besar' PKR

 
   
Seorang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan setia bersama ketua umum PKR itu menempuh pelbagai cabaran sejak 1998. Seorang lagi terinspirasi dari gerakan Reformasi untuk membawa perubahan kepada negara.

Bagaimanapun, 'perseteruan' antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli bukanlah rahsia.

Perbezaan pendapat mereka dijangka menemui kemuncaknya pada pemilihan PKR akan datang selepas Rafizi mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden yang kini disandang Azmin.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Azmin tidak bersetuju dengan tanggapan yang melihat tindakan Rafizi sebagai mengisytiharkan 'perang' terhadapnya.

Menteri hal ehwal ekonomi itu sebaliknya berkata pemilihan PKR akan datang bukan tentang kem tapi hanyalah proses dalaman pemilihan yang 'demokratik'.

"Ia sebahagian proses demokratik. Ia bukan tentang kem, kita perlu membenarkan mana-mana anggota parti untuk menawarkan diri berkhidmat kepada parti.

"Ini bukan soal mengisytiharkan 'perang' (terhadap saya). Ini merupakan proses dalaman pilihan raya, kita semua ahli keluarga dalam satu parti," katanya.

Azmin turut mengeyakan apabila ditanya sama ada beliau melihat Rafizi sebagai anggota keluarga.

"Beliau (Rafizi) merupakan anggota PKR dan PKR merupakan keluarga besar. Maksud saya, sama ada kita setuju atau tidak dengan seseorang, kita perlu terima bahawa ini adalah keluarga besar.

"Tapi dalam masa yang sama, apabila anda menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti, ia adalah untuk mengukuhkan parti, terutamanya selepas pilihan raya.

"Sangat penting untuk kita mengukuhkan parti yang juga merupakan tulang belakang kerajaan bagi memastikan kita menunaikan janji kepada rakyat," katanya.

Azmin berhati-hati

Bagaimanapun, pertembungan antara Azmin dan Rafizi mungkin tidak terjadi susulan terdapat spekulasi yang mengatakan bekas menteri besar Selangor itu mungkin mencabar Anwar bagi jawatan presiden.

Azmin yang dikenali berahsia dalam percaturan politiknya, sekali lagi berhati-hati untuk tidak mendedahkan jawatan yang akan ditandinginya dalam pemilihan PKR.

Azmin mendakwa beliau kini menumpukan untuk membantu PKR memenangi pilihan raya keci Sungai Kandis, selain menyumbang dalam persidangan Dewan Rakyat.

"Saya mempunyai beberapa pilihan, namun kini saya mengumpul maklumat lanjut daripada akar umbi daripada setiap negeri tentang peranan apa yang saya harus mainkan," katanya.

Azmin juga sebelum ini menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya sebeagai menteri kabinet untuk mengimbangi Anwar.

Sementara itu, Rafizi membuat pengumuman rasmi untuk bertanding jawatan presiden PKR semalam.

Dalam pengumuman itu, Rafizi juga mendedahkan pasukannya yang terdiri daripada Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan Anggota Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Keempat-empat meraka akan bertanding untuk merebut empat kerusi jawatan naib presiden.

Pemilihan PKr akan bermula pada 24 Ogos selama sembilan minggu dengan keputusan dijangka diumumkan pada November. Pencalonan dijangka diadakan pada 5 Ogos.

Tiada ulasan: