Jumaat, 28 April 2017

MASA UNTUK PEMIMPIN UMNO TURUT BERTANYA ATAU AZIZ SHEIKH FADZIR BAKAL JADI MANGSA?

shahbudindotcom


Seorang pemimpin UMNO dan wakil BN dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain yang prihatin, akhirnya turut melontarkan soalan paling mudah - mana perginya wang yang sudah 1MDB bayar kepada Aabar BVI sebelum ini?

Soalan daripada beliau yang merupakan Ketua UMNO dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu menyusul berikutan penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara 1MDB dan IPIC untuk memikul tanggungjawab terhadap bon bernilai AS$3.5 bilion beserta dengan faedahnya sekali. 

Kata Aziz lagi, beliau menyokong penyelesaian yang dicapai itu, tetapi kerajaan perlu menjelaskan kepada PAC ke mana perginya wang AS$3.5 bilion yang dibayar sebelum ini.

Dalam pertikaian antara IPIC dengan 1MDB sehingga dibawa kepada Tribunal Timbangtara Antarabangsa, wang itu sepatutnya dibayar melalui anak syarikat IPIC, Aabar Investmet PJS tetapi telah dilencongkan kepada sebuah syarikat klon, Aabar Investment PJS Ltd atau Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island.
Soalan Abdul Aziz tambah relevan kerana berdasarkan rekod PAC, pembayaran AS$3.5 bilion itu sebenarnya dibuat sebanyak empat kali dalam tempoh yang berbeza.

Bayaran pertama dibuat sebanyak AS1.367 bilion yang dibuat tahun 2012, diikuti AS$993 juta pada November 2014, AS$885 juta pada September 2014 dan akhir sekali AS$295 juta pada Disember 2014?

Bukan saja ke mana perginya wang itu perlu diperjelaskan, bahkan yang tidak kurang pentingnya ialah, adakah 1MDB langsung tidak menyedari pembayaran dibuat kepada syarikat klon, sedangkan ia dibuat sebanyak empat kali dan bukannya secara sekaligus?

Perumpaan mudahnya, katalah  jika kita tersalah meminum air yang telah basi atau masam, apakah sehingga empat kali hirupan, masih tidak disedari juga  ada sesuatu yang tidak kena pada minuman tersebut?

Apatah lagi, berdasarkan penyiasatan antarabangsa, wang yang dilencongkan melalui syarikat klon itu turut dikaitkan secara langsung dengan tindakan yang telah dan sedang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS, pihak berkuasa Switzerland serta juga Singapura.

Oleh itu, persoalan yang ditanyakan oleh Abdul Aziz seharusnya mendorong sama pemimpin-pemimpin UMNO yang lain untuk turut bangun bertanyakan perkara yang sama jika benar mereka juga mahukan kebenaran sepertimana keinginan rakyat yang lain.

Soalannya mudah saja - YAB Datuk Seri Najib, ke mana sebenarnya pergi wang yang sudah dibayar sebelum ini dan tidakkah persetujuan memikul tanggungjawab terhadap bon itu beserta faedahnya bermakna 1MDB melakukan pembayaran berganda?

Berdasarkan apa yang berlaku sekarang, rakyat merasakan ada yang tidak kena berhubung penyelesaian luar mahkamah itu kerana ia jelas memperlihatkan kaedah "tutup lubang gali lubang" diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Selebihnya, terpulang kepada Najib sama ada beliau mampu bersikap jujur dan berterus-terang mengenainya,  tetapi apa jua pendirian beliau setidak-tidaknya boleh dijadikan ukuran antara antara  hakikat "berani kerana benar atau takut kerana salah".

Adakah pemimpin UMNO lain yang berani bertanya menuruti langkah Abdul Aziz atau mereka lebih rela bersubahat dengan berdiam diri berkaitan kehilangan wang yang banyak itu, asalkan jawatan dan kedudukan terus terpelihara? 

Atau juga barangkali dalam sehari dua ini akan kedengaran Abdul Aziz tiba-tiba menjadi mangsa sebagaimana deretan yang lain sebelum ini yang telah dimangsakan hanya kerana bertanya soalan tentang 1MDB? 


 

Sekretariat mesyuarat Rabu putuskan pendaftaran Pakatan Harapan

MALAYSIA DATELINE

Tun Mahathir bersama pemimpin Pakatan Harapan dalam sidang media di Kuang, Selangor malam tadi.Tun Mahathir bersama pemimpin Pakatan Harapan dalam sidang media di Kuang, Selangor malam tadi.

Majlis Sekretariat Pakatan Harapan akan bermesyuarat Rabu ini bagi membuat persiapan terakhir tentang struktur, perlembagaan dan logo baru gabungan politik itu sebelum didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Siti Hasmah melakukan upacara membelah mulut bayi yang diberikan nama sempena suaminya, Mahathir Mohamad bin Mohamad Faizal dalam majlis malam tadi.Siti Hasmah melakukan upacara membelah mulut bayi yang diberikan nama sempena suaminya, Mahathir Mohamad bin Mohamad Faizal dalam majlis malam tadi.Selepas diperhalusi, kesemua akan diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk diluluskan dan seterusnya didaftarkan kepada RoS.

"Mesyuarat majlis sekretariat akan perhalusi cadangan struktur, perlembagaan dan logo Pakatan Harapan.

"Saya jangka seminggu selepas majlis sekretariat, Majlis Presiden akan bermesyuarat untuk meluluskannya," kata anggota majlis itu Izham Hashim.

Izham yang juga Pengerusi Amanah Selangor berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahahthir Mohamad di Kuang, Selangor malam tadi.

Dalam sidang media itu, Mahathir berkata, majlis presiden Pakatan Harapan akan berjumpa untuk menyelesaikan perdaftaran gabungan politik baru itu.

Sidang media itu diadakan selepas Mahathir berucap di majlis "Himpunan Pakatan Bersatu" anjuran NGO Persatuan Pengundi Selangor atau Voices disebuah cafe dekat Kuang.

Lebih 2,000 termasuk pemimpin Pakatan Harapan menyertai majlis makan malam dan ucapan itu

100,000 pemandu Teksi,Uber, Grabcar dilindungi insuran berkuatkuasa 1 Jun

BERNAMA




Seramai 100,000 pemandu teksi termasuk Uber dan Grab yang bekerja sendiri akan dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan selepas Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 diluluskan oleh Dewan Negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata skim itu akan berkuat kuasa pada 1 Jun ini dan semua pemandu yang berdaftar dengan Suruhahjaya Pengangkutan Darat (SPAD) layak untuk menyertainya.

Katanya, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM60 juta sebagai permulaan untuk melaksanakan skim insurans persendirian itu.

“Skim ini yang mula diperkenalkan kepada pemandu yang bekerja sendiri itu akan turut diperluaskan kepada sektor lain seperti petani, pesawah, peniaga, peladang, penjual buah dan sebagainya secara berperingkat.

“Sasaran kita adalah supaya semua rakyat di negara ini dilindungi insurans,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Baki Bantuan Banjir di Sekolah Kebangsaan Chenor, Maran, hari ini.

Ismail berkata bancian mendapati sebanyak 2.48 juta rakyat di negara ini dikenal pasti terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri, membolehkan mereka dikategorikan sebagai layak memiliki perlindungan itu.

Mengulas mengenai skim kepada pemandu teksi itu, Ismail berkata mereka hanya perlu membayar kadar caruman sebanyak 1.25% sahaja daripada pendapatan bulanan mereka.

Kadar bayaran caruman setahun yang perlu dibuat kepadaPertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO) adalah antara RM157.20 (RM13.10 sebulan) hingga RM592.00 (RM49.40 sebulan) bergantung kepada pendapatan yang diinsurankan.

“Skim tersebut merupakan satu pembelaan kepada golongan pemandu teksi kerana jika kemalangan semasa bertugas mereka akan mendapat pembelaan termasuk kepada keluarga mereka,” katanya.

Amanah dakwa SPR larang ed‎ar Rang Daftar Pemilih Tambahan

Shawaliah Hadir

SPR perlu memberi kesahihan tentang dakwaan tersebut dalam tempoh seminggu sebelum Pemuda Pakatan Harapan mengadakan demo bantahan di ibu pejabat pengendali plihan raya itu

PUTRAJAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan arahan larangan pengedaran salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan kepada semua parti politik.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pemuda Amanah Mohd Taqiuddin Che Man, perkara tersebut kini tular di laman sosial dan menimbulkan ketidakpuasan hati kepada para parti pembangkang yang menyifatkannya sebagai membebankan serta tidak telus dalam menyenaraikan maklumat pengundi menjelang pilihan raya yang akan datang.

“Melalui surat edaran bertarikh 18 April 2017, Setiausaha SPR Malaysia Abdul Ghani Salleh mengarahkan semua SPR negeri untuk menghentikan pengedar salinan itu kepada parti-parti politik di Malaysia.

“Edaran ini penting untuk parti politik sebagai agen semak dan imbang terhadap maklumat pengundi dalam PRU14,” katanya kepada wartawan.

Beliau terdahulu hadir ke ibu pejabat SPR untuk menyerahkan memorandum bantahan.

Memorandum tersebut diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR Mohd Sabri Abdullah.

Tambah Taqiuddin, SPR perlu memberi kesahihan tentang dakwaan tersebut dalam tempoh seminggu sebelum Pemuda Pakatan Harapan mengadakan demo bantahan di ibu pejabat entiti itu.

“Kami mahu mendapat kesahihan adakah benar surat ini? Dan kalau benar kami membantah sekerasnya tindakan SPR itu sendiri,” katanya lgi.

Dalam surat arahan yang didakwa menjadi tular baru-baru ini Abdul Ghani melarang pengedar salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan dalam bentuk buku dan cakera padat kepada semua parti politik.

Guru, kerani didakwa serah MC palsu

 Berita Daily Staff

Zainuddin Deraman, 41, seorang guru dan Saiful Rizal Mohd Haris, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap masing-masing dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin dan Majistret P. Sarulatha.

SHAH ALAM: Seorang guru dan kerani sebuah sekolah rendah di daerah ini, dihadapkan di Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini, masing-masing atas dua pertuduhan memperdayakan guru besar sekolah itu dengan menyerahkan sijil cuti sakit yang palsu.

Zainuddin Deraman, 41, seorang guru dan Saiful Rizal Mohd Haris, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap masing-masing dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin dan Majistret P. Sarulatha.

Di hadapan Majistret Siti Shakirah, Zainuddin didakwa memperdayakan Sapiah Jaffar, 54, menyebabkan guru besar itu mempercayai bahawa dua sijil sakit palsu yang diserahkan oleh tertuduh adalah tulen.

Di hadapan Majistret Sarulatha, Saiful Rizal juga menghadapi dua pertuduhan memperdayakan individu sama menyebabkan wanita itu mempercayai bahawa dua sijil sakit palsu yang diserahkan oleh tertuduh adalah tulen.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sekolah itu, antara 5 Sept 2016 dan 18 Jan lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua majistret membenarkan Zainuddin dan Saiful Rizal dibebaskan dengan jaminan RM2,500 setiap seorang bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 12 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman dan Nurul Huda Ramli sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Dony Abdullah.

Ayuh! rakyat tukar kerajaan bersama PH jika Pas tidak berminat

MALAYSIA DATELINE

Mohd Sany Hamzan Mohd Sany Hamzan Rentetan kenyataan pimpinan Pas ketika ini menggambarkan parti itu tidak berminat untuk membuat perubahan terhadap pentadbiran negara, maka Pemuda Amanah Nasional mengajak rakyat bersama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ini termasuklah kenyataan Presiden Pas, Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang mengajak rakyat memilih sama ada Pas atau Umno dan menolak parti-parti yang lain.

Terbaru, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Ahmad Yaacob ketika Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat di Kedah semalam
berkata, tidak ada gunanya menjatuhkan kerajaan sekarang yang dipimpin BN.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian dengan memberi gambaran yang sangat negatif dengan mengatakan parti sekular sosialis akan memerintah sekiranya BN dijatuhkan.

Justeru Ketua Pemuda Amanah Nasional  Mohd Sany Hamzan berpandangan, tindakan Pas menakut-nakutkan rakyat untuk membuat perubahan hanya memberi nafas kepada BN untuk terus berkuasa sebagai pemerintgah.

"Pas tidak sewajarnya membuat persepsi jijik demi menggagalkan hasrat rakyat untuk membuat perubahan.

"Dalam keadaan negara dihantui krisis pentadbiran dan skandal besar, ditambah lagi hambatan ekonomi yang tenat, sewajarnya Pas sebagai parti yang meletakkan Islam sebagai dasar haruslah lebih mengetahui tuntutan menyelamatkan negara.

"Tidak sewajarnya Pas memberi nyawa kepada Barisan Nasional dengan memburukkan serta mewujudkan persepsi negatif terhadap parti-parti pembangkang," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohd Sany lagi, hari ini nada serta pendekatan pimpinan Pas dakwanya adalah selari dengan pengumuman parti itu sebelum ini yang mengatakan akan bertanding kira-kira 80 kerusi parlimen secara bersendirian.

"Angka itu sudah menzahirkan bahawa sangat mustahil untuk parti itu memimpin negara sebaliknya hanya bertindak sebagai pihak ketiga yang mampu mengganggu kelestarian untuk melihat satu pentadbiran baharu dibina.

"Amanah dan Pakatan Harapan komited untuk menyelamatkan negara daripada pemerintahan kleptokrasi yang sedang bermaharajalela menjarah hasil negara.

"Atas kesedaran tuntutan menyelamatkan negara, kami konsisten mengajak masyarakat untuk membuat perubahan dalam pilihan raya yang akan datang.

"Ayuh bersama kami selamatkan Malaysia. Kami yakin, rakyat khususnya golongan muda dapat menilai tentang realiti sebenar politik negara dan pihak mana yang benar-benar mampu untuk mengubah pentadbiran negara," ujarnya.

Anwar: K'jaan mahu saya 'kenakan' Mahathir

MALAYSIAKINI


Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap dengan kenyataan yang diberikan kepada pasukan petugas khas bagi menyiasat skandal tukaran wang asing (Forex) bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menjadi punca kerugian Bank Negara sekitar 1990-an.

Bekas ketua pembangkang itu mendakwa kerajaan mahu kenyataan beliau digunakan bagi menentang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini merupakan sekutu pembangkang.

Mahathir, yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah pengkritik lantang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung pengurusan negara terutama melibatkan isu 1MDB.

"Saya konsisten dengan kenyatan saya dalam menggesa peletakan jawatan Nor bagi kerugian Forex kemudiannya," kata Anwar kepada pemberita selepas perbicaraan kes qazaf membabitkan beliau hari.

Bagaimanapun Anwar berkata Nor telah dilantik sebagai menteri kewangan kedua dalam kabinet bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Apabila Nor dilantik (ketika zaman saya), syaratnya adalah dia tidak seharusnya terlibat dalam institusi kewangan. Tetapi beliau dilantik sebagai menteri kewangan kedua (semasa Pak Lah). Mereka (BN dan Umno) tidak berpuas hati dengan komen saya," katanya ketika diiringi pegawai penjara dan polis.

"Mereka mahu menggunakan saya untuk menyerang Mahathir, tetapi saya berkata kamu tidak boleh menggunakan ini untuk menyerang Mahathir semata-mata," katanya.

Anwar sebelum ini mengadu bahawa Nor diberikan jawatan dalam Khazanah Nasional ketika pentadbiran Najib.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dua hari lepas, Anwar berkata Nor telah dihalang daripada mengendalikan kewangan negara.

Pemimpin de-facto PKR itu diminta mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa beliau mengubah ceritanya mengenai skandal forex.

“Bila dia bersama Dr Mahathir Mohamad, dia kata satu perkara.

“Bila dia menentang Mahathir, dia kata perkara lain. Dan sekarang bila dia sekali lagi bersama Mahathir, Anwar buat cerita baru,” kata Salleh dalam satu catatan blog.

Anwar berkata beliau memberitahu pasukan petugas forex bahawa gabenor BNM ketika itu, Allahyarham Tun Jaafar Hussein pada tahun 1993 berkata "Nor Mohamed Yakcop telah memberikannya laporan tidak tepat dan menerima peletakan jawatan Nor Mohamed kerana dia adalah pegawai yang bertanggungjawab".

"Jaafar sendiri mengambil tanggungjawab sepenuhnya walaupun saya mengakui integriti dan kejujuran beliau bahawa beliau tidak diberi penjelasan penuh oleh Nor Mohamed," katanya.
 
 LIHAT VIDEO DI SINI


Perbualan Whatsapp bersifat persendirian, kata SKMM

MALAYSIAKINI



Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, perbualan dalam mana-mana kumpulan aplikasi pesanan seperti Whatsapp, Wechat, Viber, Telegram dan sebagainya adalah bersifat persendirian.

"Siasatan hanya akan dijalankan jika terdapat aduan terhadap kandungan yang disebarkan dalam kumpulan tersebut.

"Justeru, orang ramai, sama ada pentadbir atau ahli kumpulan, perlu berwaspada dalam menyebarkan maklumat dalam kumpulan masing-masing supaya tidak terjadi kes penyebaran maklumat palsu," katanya dalam kenyataan.

Semalam, beberapa akhbar tempatan melaporkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari sebagai berkata, admin (pentadbir) kumpulan WhatsApp berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal membendung penyebaran maklumat palsu dalam kalangan ahli sehingga menggugat keselamatan negara.

Jailani berkata, tindakan undang-undang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dipertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pentadbir terbabit.

Di bawah akta itu, pelbagai kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti menyebarkan berita palsu, fitnah, menghasut, penipuan dan pendedahan komunikasi yang dilarang iaitu mendedahkan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mengulas lanjut, SKMM berkata, penyebaran maklumat palsu adalah kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, termasuk seksyen 233 AKM 1998.

Adalah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk menggunakan perkhidmatan aplikasi seperti Whatsapp, untuk membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik, katanya.

Ia juga beserta sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, tegasnya.

"Perlu ditekankan bahawa mana-mana siasatan tidak akan membezakan di antara pentadbir dan ahli kumpulan. Jika pentadbir atau mana-mana ahli kumpulan didapati menyebarkan maklumat palsu, maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka.

"Berdasarkan fakta, bukti dan perlakuan, seorang pentadbir mungkin dipertanggungjawabkan dalam keadaan iaitu apabila pentadbir sendiri membuat komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 233 AKM 1998," katanya.

Selain itu, tambah MCMC, ia terpakai apabila pentadbir, walau pun dengan sendirinya tidak membuat komen tersebut, meminta komen sedemikian daripada yang lain dan apabila pentadbir membantu, melalui hasutan, mana-mana orang lain dalam kumpulan untuk membuat komen tersebut dan apabila pentadbir menghalang siasatan terhadap komen sedemikian oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

"Dalam perkara ini, MCMC akan mempertimbangkan keperluan mengadakan garis panduan tentang penggunaan aplikasi pesanan dan seumpamanya.

"Pada masa yang sama, orang ramai digesa untuk sentiasa berhemah dalam penggunaan media sosial demi perlindungan mereka sendiri," jelas suruhanjaya itu.


Geng 24: Polis tahan tiga pelajar

SELANGOR KINI

POLIS BIRU 2 4x4


SHAH ALAM: Polis menahan tiga pelajar sekolah yang dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap Geng 24 di Klang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan dalam Op Cantas bagi mengesan baki Geng 24, pada jam 12.40 tengah hari di perkarangan sekolah mereka.

“Perintah reman tiga hari dikeluarkan bermula hari ini terhadap mereka dan usaha mengesan ketua atau dalang utama geng kongsi gelap itu giat dilakukan polis,” katanya lapor BERNAMA.

Fadzil berkata, tangkapan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang diberkas polis berkaitan kumpulan kongsi gelap berkenaan ialah 41 orang.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Pada 20 April lalu, dua video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai anggota Geng 24 menimbulkan kekecohan di luar sebuah sekolah di Klang menjadi tular dalam media sosial.

Susulan itu, polis membuat beberapa siri tangkapan bermula 21 April lepas bagi menjejaki anggota geng kongsi gelap berkenaan.

Kuala Selangor, Sabak Bernam dinaiki air

SELANGOR KINI

WhatsApp Image 2017-04-28 at 12.58.43 PM


SHAH ALAM: Seramai 64 mangsa dari 20 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pasangan, Kuala Selangor, sejak semalam selepas kediaman mereka dinaiki air.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, mangsa yang dipindahkan adalah penduduk di Kampung Tanjung Buah dan Kampung Tanjung Siam selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran fenomena air pasang besar.

“Mangsa yang dipindahkan terdiri dari 11 lelaki dan 16 perempuan dewasa, 15 kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan serta seorang bayi perempuan.

“Selain itu, tiga lelaki dan lapan perempuan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta empat warga emas lelaki juga lapan warga emas perempuan turut dipindahkan ke pusat pemindahan itu,” katanya lapor BH Online.

Katanya, pihaknya kini membuat pemantauan fenomena air pasang besar di sekitar Kampung Tanjung Siam, Kampung Teluk Penyamun dan Kampung Asahan.

WhatsApp Image 2017-04-28 at 12.58.44 PM

Sementara itu, kejadian limpahan air di Sungai Bernam, Sabak Bernam mencatatkan ketinggian antara 100 milimeter (mm) sehingga 300mm, semalam.

Kejadian terbabit dikatakan berpunca daripada air pasang yang melimpah melepasi jalan premix memasuki parit Borrow Pit 5, lapor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam.

“Untuk jangka pendek, kita akan membuka pintu air Sungai Besar Utara ketika tempoh surut, manakala cadangan penyelesaian jangka panjang pula meninggikan aras jalan benteng premix sedia ada oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB),” katanya.

965 asnaf bebas kelompok kemiskinan

SELANGOR KINI

Lembaga Zakat Selangor (LZS)


SHAH ALAM: Seramai 965 keluarga asnaf fakir dan miskin berjaya dikeluarkan daripada kelompok itu pada 2016, menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 790 keluarga yang menjadi penerima zakat keluar daripada kategori asnaf hasil siasatan semasa dilaksanakan menggunakan garis penentuan fakir dan miskin iaitu had al-kifayah.

“Manakala 175 keluarga lagi yang keluar daripada kategori asnaf adalah penerima zakat bagi bantuan perniagaan di bawah Program Pembangunan Ekonomi,” katanya.

Pada 2016, RM6.7 juta diagihkan kepada usahawan asnaf fakir dan miskin yang berpontesi, sementara RM300,000 diberikan kepada usahawan asnaf mualaf.

Bantuan itu meliputi perniagaan, perikanan, penternakan, pertanian dan projek usahawan berkelompok.

Pada tahun ini, LZS mensasarkan 220 keluarga keluar daripada kategori asnaf fakir dan miskin, sekali gus menjana pendapatan yang dapat membangunkan ekonomi keluarga mereka

Hadi, Tuan Ibrahim kekal jawatan bukti PAS stabil

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic


SHAH ALAM: Keyakinan penyokong PAS terhadap Presiden, Datuk Seri Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menerajui parti itu sekali lagi menggambarkan kestabilan PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Menurut penganalisis politik, Prof. Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, selepas kedua-duanya menang tanpa bertanding, PAS dilihat semakin yakin bergerak sendiri di bawah pimpinan Hadi dan Tuan Ibrahim walaupun ramai ahli PAS keluar parti lalu menubuhkan parti baru, Amanah.

“Jadi saya rasa PAS sekarang merasa lebih yakin mengenai masa depan dan selama ini selepas krisis dengan ahli-ahli yang jadi Amanah ni, Datuk Seri Hadi telah berjaya menstabilkan PAS dan kedudukan PAS.

“Jadi saya rasa kepercayaan kepada Datuk Seri Hadi dan timbalan adalah langkah yang paling penting untuk orang PAS menunjukkan bahawa mereka telah balik stabil.”

Malah katanya, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016) atau Akta 355 yang dibentangkan oleh Hadi baru-baru ini turut menambahkan lagi sokongan ahli PAS terhadapnya.

“Jadi ada beberapa alasanlah kenapa stabil tu, pertamanya menghadapi pilihan raya, keduanya RUU355, walaupun belum lagi berjaya diluluskan, tapi dah dimulakan perbincangan.

“Mereka dah bersedia untuk berdepan dengan PRU14 dan memberi mandat supaya berunding dengan siapa sahaja yang boleh berunding dengan PAS, ni semua adalah tersirat dengan persetujuan ni,” tambahnya.

Sebelum ini, Hadi dan Tuan Ibrahim diumumkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAS selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi tahun ini.

Hadi, 69, memegang jawatan Presiden PAS sejak 2002 menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim, 56, memegang jawatan nombor dua parti sejak 2015

Kepimpinan baru Pemuda PAS gabung tiga golongan

Oleh Shuhaniza Said dan Ainor Rahim
Post Pic


ALOR SETAR: Ketua baru sayap Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi hari ini mengumumkan kepimpinan baru sayap itu membariskan gabungan tiga kelompok terpenting dalam parti.

Katanya, gabungan golongan agama, profesional dan aktivis akan bersama-sama menerajui sayap itu dalam misi utama untuk mempertahankan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Kepimpinan baru ini menggabungkan antara tiga kelompok penting dalam PAS iaitu kelompok profesional, agama dan aktivis.

"Dan daripada keseluruhan exco-exco, tiga daripadanya ialah dari Kelantan dan paling ramai. Ia signal perwakilan supaya Pemuda memberi tumpuan untuk pertahan PAS di Kelantan dalam PRU akan datang Insya-Allah," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Khalil diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda menggantikan Nik Abduh Nik Aziz pada pemilihan kali ini.

Mengulas keputusan Muktamar Pemuda sebentar tadi yang meluluskan usul putus tahaluf siyasi dengan PKR, Khalil berkata, ia adalah signal daripada perwakilan agar kepimpinan tertinggi membuat keputusan mengenai hala tuju hubungan kedua-dua parti itu dengan segera.

"Kita PAS ini menggabungkan konsep Islam dan demokrasi. Dari segi Islamnya kita punya institusi paling tinggi iaitu Majlis Syura Ulama (MSU).

"Daripada sudut demokrasi pula kita dengar pndangan ahli di bawah, kerana itulah ia beri signal agar MSU buat satu keputusan mengenai tahaluf dgn PKR pada PRU akan datang," katanya.

Khalil bagaimanapun menegaskan, sama ada usul berkenaan akan diterima MSU atau sebaliknya, ia tidak wajar ditafsirkan, sehinggalah keputusan muktamad diputuskan.

"Itu kita akan lihat. Saya kira ia akan dibentang dan dibahas pada Ahad insya-Allah. Ia tak perlu ditafsir, jelas sebagaimana hasrat perwakilan mahu supaya PAS khususnya MSU fikir PAS dengan PKR," katanya lagi.



Putus tahaluf siyasi mungkin tidak serta-merta - Penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic

SHAH ALAM: PAS digambarkan tidak akan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta, demikian pendapat penganalisis politik, Dr Salawati Mat Basir.

Menurutnya, PAS perlu memikirkan strategi baru bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dengan ketiadaaan rakan seteru mereka itu lagi.

“Saya rasa dia (PAS) tak buat secara mendadak, kita tahu sebenarnya dah lama juga kita tengok daripada 2015 pertikaian PKR-PAS dah mula dengan adanya Datuk Seri Azmin Ali, macam menyindir-nyindir kepada Datuk Seri Hadi Awang, benda tu macam ‘prolog’, berpanjangan dan sebagainya hinggalah kepada keadaan di mana PAS bertindak keluar daripada Pakatan, itu kemuncak lah.

“Jadi yang menjadi isunya ialah sejauh mana persediaan mereka untuk menghadapi pilihan raya, sebab kita selalu cakap tentang pilihan raya, adakah PAS boleh berseorangan dan kita melihat PAS memberikan satu bayangan bahawa mereka tidak mahu masuk dalam Pakatan, mereka mahu bersendirian.”

Namun katanya, PAS dilihat sudah lama bersedia untuk bergerak secara sendirian selepas membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP dahulu.

“PAS sudah bersedia, dia sudah bersedia. Agak berat hati mereka untuk bersama sebab mereka memang dah berpatah arah untuk bersama dengan DAP dan sekarang mereka mahu berpatah arah dengan PKR, dengan PAN (Amanah) lagi la tidak kan, jadi dengan BERSATU (PPBM) pun seolah-olahnya tidak juga, sebab Tun Mahathir pun dah bagi kata dua dengan mereka. Mereka tidak suka begitu, jadi saya rasa memang PAS bersedia bergerak sendirian kali ini.”

Sayap Ulama dan Pemuda PAS meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR pada Muktamar kali ke-63 yang sedang berlangsung di Alor Setar sejak semalam.

Usul itu bagaimanapun akan dibawa ke peringkat PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.

Sekiranya peringkat tertinggi membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, ia bakal menyaksikan pertembungan di antara dua parti itu pada pilihan raya akan datang.

PAS sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP, selepas ia terus menerus melontarkan serangan terhadap Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan parti itu, terutama bersabit cadangan pelaksanaan hudud.


PKR tidak berhak desak Exco PAS letak jawatan di Selangor

Oleh Ainor Rahim & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Pemuda PAS berkata PKR tidak berhak mendesak tiga ahli Exco kerajaan negeri Selangor daripada parti itu letak jawatan sekiranya Majlis Syuara Ulama memuktamadkan untuk memutuskan tahalauf siyasinya dengan PKR.
 
Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tiga Exco itu tidak dilantik oleh PKR mahupun DAP tetapi 'masing-masing bekerja untuk rakyat'.
 
"Kalau Exco PAS bekerja untuk rakyat dan amanat dari parti dan tidak ada sebab PAS untuk mengikut telunjuk pimpinan PKR," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
 
Khalil berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan, jika benar PAS mahu memutuskan hubungan tahaluf siyasi itu, adalah lebih baik Exco daripada parti pimpinan Datuk Seri Abd Hadi Awang itu berundur dari Selangor.
 
Saifuddin berkata demikian susulan keputusan Dewan Ulama PAS meluluskan usul putus hubungan itu tanpa membahaskannya malam tadi.

Awal hari ini, sebagaimana keputusan Dewan Ulama PAS, Muktamar Dewan Pemuda turut meluluskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Usul yang diluluskan di peringkat sayap itu bagaimanapun akan dibawa ke peringkat PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.

PAS masih sebahagian daripada pentadbiran Selangor, walaupun parti itu enggan menyertai Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR dan DAP, yang juga merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Tiga exco dari PAS ialah Datuk Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.


Rabu, 26 April 2017

Jawatankuasa terima lebih 30 usul ke Muktamar PAS



Jawatankuasa Usul PAS Pusat sehingga kini telah menerima lebih 30 usul daripada 194 kawasan Parlimen untuk dibawa pada Muktamar PAS Ke-63 yang akan bermula esok, kata Setiausaha Agung parti Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan sedang dalam proses merumus dan membahagikan usul tersebut mengikut kategori sebelum dibawa pada Mesyuarat Khas PAS Pusat pada Jumaat ini.

"Kesemua usul berkenaan akan dibahagi kepada empat kategori iaitu usul yang ditolak, usul yang diterima tanpa bahas, usul yang diterima dan perlu dibahaskan jawatankuasa dan usul yang diterima kemudian diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk diputuskan," katanya dalam sidang media di Alor Setar hari ini.

Seramai 1,231 perwakilan akan menghadiri muktamar bermula esok sehingga 1 Mei, di Alor Setar.
Mengenai agenda pemilihan yang akan menggunakan kaedah e-voting buat julung kalinya pada 29 April ini, beliau berkata kesemua keputusan hanya akan diumumkan pada 1 Mei agar ia tidak menganggu emosi calon-calon yang bertanding ketika muktamar sedang berlangsung.

Bagi jawatan naib presiden, katanya terdapat empat calon yang akan bertanding, manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, sebanyak 26 calon menawarkan diri dan menurutnya kesemua calon berkenaan adalah mereka yang 'satu kepala' dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Amalan demokrasi dijamin di dalam PAS dan kita yakin pertandingan ini tidak akan menyebabkan apa-apa perpecahan dalam PAS sebagaimana yang diperkatakan," katanya.

Takiyuddin berkata kaedah pemilihan secara e-voting diyakini selamat memandangkan perisian tersebut dihasilkan oleh Jabatan Teknologi Maklumat PAS sendiri, dan pemilihan hanya dikendalikan oleh jawatankuasa pemilihan.

"Pada tahun ini bagi semua jawatan yang dipertandingkan, tidak ada wakil calon kepada calon-calon, ini menunjukkan dalam kalangan pimpinan PAS tidak ada perasaan curiga mencurigai, berbanding sebelum ini Muktamar 2015 ada ejen pengiraan, ejen pengundian," katanya.

PAS, katanya turut mengundang wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa parti sahabat PAS antaranya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), BERJASA dan beberapa badan bukan kerajaan namun tidak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Hubungan kami dengan PPBM boleh kami sifatkan sebagai digantung sementara, kami tidak lagi mengadakan program dan rundingan bersama setelah mereka mengumumkan masuk ke Pakatan Harapan," katanya.

Ditanya sama ada muktamar kali ini akan membincangkan mengenai kes disiplin anggota PAS, Takiyuddin berkata perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan dan dianggotai oleh mereka yang tidak memegang jawatan dalam parti.

"Ada prosedur untuk seseorang anggota PAS boleh dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib, bukan melalui muktamar atau usul, sebab dalam perlembagaan PAS ada prosedur, maknanya sesuatu aduan terhadap seseorang perlu melalui banyak tahap," katanya. -Bernama


Nazmi Faiz didenda RM3,000, gantung satu perlawanan

Bernama

Penggantungan itu akan dilaksanakan pada 6 Mei untuk aksi Liga Super antara JDT dan Melaka United di Stadium Hang Jebat

KUALA LUMPUR: Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Nazmi Faiz Mansor digantung satu perlawanan dan didenda RM3,000 berikutan kekasaran dan terjahan terhadap pemain Pahang sewaktu aksi suku akhir kedua Piala FA musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Daljit Singh Sidhu dalam kenyataan hari ini berkata hukuman itu dijatuhkan selepas pihaknya melakukan penilaian dan meneliti rakaman video perlawanan antara JDT dan Pahang yang berlangsung Ahad lepas.

“Penggantungan itu akan dilaksanakan pada 6 Mei untuk aksi Liga Super antara JDT dan Melaka United di Stadium Hang Jebat,” katanya.

Pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA itu, Pahang layak ke pusingan separuh akhir selepas mencatat kemenangan dengan agregat 4-3 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.-Bernama

Hutang 1MDB: Dr M pertikai wang yang diguna bayar syarikat palsu

 Shawaliah Hadir

Pengerusi PPBM itu dalam masa sama menyifatkan kerajaan mengalami kerugian kerana membayar hutang dua kali

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertikai wang yang telah digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI) yang didapati sebelum ini adalah syarikat palsu.

Menurutnya, perkara pokok yang sepatutnya diberikan perhatian adalah wang berbilion-bilion dolar yang telah ‘hilang’ berbanding keputusan untuk membayar RM5.28 bilion kepda firma pelaburan Abu Dhabi Interntionl Petroleum Investment Co (IPIC).

“Kalau dia bayar hutang kepada syarikat yang ada sekarang ini, jadi kita nak tahu duit yang dibayar kepada syarikat palsu ini pergi mana? Siapa dapat? Ini masalahnya.

“Masalahnya bukan hanya bayar hutang kepada IPIC tetapi ke mana duit itu (bayaran hutang sebelum ini) telah pergi?” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM) hari ini.

IPIC dan Aabar Investment sebelum ini membuat pengesahan bahawa Aabar BVI bukan entiti korporat kedua-dua syarikat berkenaan, dan ia menimbulkan kecurigaan di kalangan parti pembangkang.

Kemudian baru-baru ini 1MDB dilaporkan mencapai persetujuan untuk membayar US$1.2 billion (RM5.25 billion) kepada IPIC selepas pertikaian antara dua syarikat itu di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

Dalam persetujuan itu, 1MDB juga akan bertanggungjawab terhadap semua pembayaran faedah pada masa akan datang dan pembayaran prinsipal bagi dua bon terbitan syarikat-syarikat Kumpulan 1MDB Group yang bernilai AS$3.5 bilion, yang berakhir pada 2022.

Pengerusi PPBM itu menyifatkan tindakan tersebut hanya merugikan sahaja kerana mengeluarkan wang yang banyak untuk membuat pembayaran kali kedua.

“Tidak tahulah siapa yang buat syarikat palsu ini tetapi sekarang kita nak bagi lagi duit kepada syarikat yang tidak palsu jadi dua kalilah kita bayar hutang. Kita rugi dua kalilah,” tambah Dr M.

Siti Noor Aishah dipenjara lima tahun

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas bekas pelajar sarjana, Siti Noor Aishah Atan selepas mendapati beliau bersalah atas tuduhan yang berkaitan dengan pemilikan 12 buku berkaitan dengan keganasan.
 
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samad berkata mahkamah berpuas hati dengan hujah pihak pendakwaan, dan menyatakan bahawa pembelaan tertuduh "tidak munasabah langsung".
 
"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan," katanya.
 
Menyampaikan keputusannya kemudian, Shariff juga mengecam tindakan Siti Aishah sebagai "jijik dan kotor".
 
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki 12 buah buku yang merupakan item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu Jemaah Islamiyah, Daesh dan al-Qaeda.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu pada pukul 12.25 tengah hari, 22 Mac tahun lalu.
 
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan tersebut.
 
"Tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tangkapan pertama," kata hakim , sambil mengarahkan buku-buku yang dirampas itu dimusnahkan.
 
 

Tun Mahathir persila ahli PPBM keluar parti

ANTARAPOS.COM
Post Pic
KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mereka yang ingin meninggalkan parti itu dialu-alukan untuk berbuat demikian.
"Ia kerana kita tidak mahu mereka (menyertai PPBM) kerana mempunyai dendam atau mahu kedudukan,” kata Dr Mahathir pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata bahawa menjadi pemimpin bahagian PPBM tidak secara automatik melayakkan seseorang itu menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.
“Kita ingatkan semua sekali lagi - menjadi ketua bahagian tak bermakna tetap jadi calon.
“Calon akan diberikan kepada ‘winnable candidates’ dan orang ini mungkin daripada parti-parti gabungan atau PPBM,” kata Dr Mahathir.

PKR jadi rosak sejak menjauhi PAS

IZWAN ABDUL HALIM


 
 
PANDANGAN umum ada yang melihat PAS itu seperti sebuah masjid, di mana di dalamnya terdapat orang baik-baik sahaja. Namun hakikatnya, mereka yang menganggotai PAS juga adalah manusia biasa dan lumrahnya tidak lari dari kesilapan.
 
Tetapi individu di dalam PAS yang melakukan kesilapan tidaklah dia diperlakukan seperti ‘putus atau buang saudara’ atau ‘tidak mengaku anak’. Kecuali yang melampau menyelisihi disiplin parti atau terbukti melakukan jenayah.
 
Ia berbeza dengan nasib malang dihadapi Ketua AMK Ampang, Dato’ Adam Rosly. Semua pernah melihat keaktifannya dalam gerakan anak muda PKR dan bersama individu atau pimpinan utama parti itu. Tetapi belum pun beliau disabitkan dengan kesalahan yang didakwa atasnya, mereka itu sudah terpinga-pinga mendakwa tidak mengenalinya.
 
Terkini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula bermulut serong apabila cuba menoreh imej negatif kepada PAS dengan menyatakan Adam adalah bekas ahli PAS. PAS boleh menerima hakikat sebiji buah buruk dalam setandan pisang, tetapi ternyata tidak pada PKR. Bahkan dengan tempelakan Rafizi itu, seolah-olah PKR meletak Adam seumpama nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.
 
Adam bagaikan terbuang terus dari PKR yang dilihat cuba berlagak suci. Walhal, PKR itu sebenarnya lebih layak diumpama seperti susu masam dalam belanga berkulat. Malu untuk ditulis semula senarai skandal dan kesipuan yang sudah masyhur dalam pengetahuan umum. Tetapi cukuplah direnung singkap keadaan PKR selepas tragedi ‘Langkah Kajang’ yang akhirnya menjatuhkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dari PKR sendiri.
 
Sebelum dijatuhkan, kecemerlangan TSKI mengetuai Kerajaan Negeri Selangor menjadi aset kekuatan Pakatan Rakyat (PR) hingga mengulangi kemenangan jitu pada PRU13. Tetapi mereka merungut kepadanya bahawa TSKI itu dikatakan bakhil, kedekut dan susah memberi wang, sedangkan beliau mempertahankan amanah rakyat hingga rizab negeri juga meningkat di bawahnya.
 
Seterusnya beliau dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan TSKI berjaya menjawab dengan semua fakta yang sebenar. Sampailah satu ketika, pertuduhan kepadanya dipanaskan lagi hingga membawa beliau dihadapkan ke Majlis Presiden yang diwakili pimpinan-pimpinan tertinggi dari PKR, PAS dan DAP. Namun, beliau menjawab dengan cemerlang dan Majlis Presiden berpuas hati dengan penjelasan padunya.
 
Namun, secara tiba-tiba berlaku arahan pengosongan kerusi Dun Kajang dan Pilihan Raya Kecil diadakan walaupun tanpa perbincangan dengan pihak PAS yang akhirnya membawa kepada pertukaran MB di mana naiknya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.
 
Dalam erti kata lain, TSKI dijatuhkan secara terhormat, malah PAS turut disenteng keluar hasil percaturan jahat DAP hingga kemudiannya melahirkan Pakatan Harapan (PH) terdiri dari DAP, PKR dan PAN.
 
Tragiknya, imej bersih Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR sebelum itu semakin ternoda dengan pelbagai keraguan dan skandal yang terpalit atas kerajaan dan individu antaranya:
• Rafizi mendakwa pentadbiran Azmin mempunyai skandal rasuah dan seks;
• Kontroversi Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) melibatkan wang lebih RM2 bilion;
• Dakwaan mahu melarikan RM500 juta setahun wang Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS);
• Kemusykilan kerana melibatkan pengendali dari luar Selangor untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE);
• Pemilikan dan kekayaan meragukan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua AMK Ampang, Dato’ Adam Rosly;
• Keraguan kos RM9.8 juta untuk baik pulih Pintu Gerbang Selangor;
• Kalah dalam tuntutan semula bayaran pampasan RM2.7 juta kepada bekas kakitangan Menteri Besar Diperbadankan (MBI)
Bermakna, ketika adanya PAS, kerajaan terkawal dari sebarang ketidaktelusan dan penyelewengan. Tetapi kerajaan mula terpalit dengan isu dan skandal berkaitan apabila PKR mula menjauhi PAS. Ketika sama berkoalisi dalam PH yang sememangnya cuba dicengkam oleh DAP dengan watak ‘Abang Besar’nya, ditambah watak rakus PAN terhadap kedudukan. – HARAKAHDAILY

Kajian Invoke Centre psikologi lonjak PKR dominasi PH

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

 
 
DAPATAN daripada kaji selidik 10,523 pengundi mengenai kebolehpindahan undi antara parti pembangkang yang dilakukan oleh Invoke Centre for Policy Initiatives (I-CPI) tidak perlu dipandang serius oleh rakyat.
 
Ini kerana diketahui ramai bahawa I-CPI adalah milik Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keneutralan kaji selidik tersebut.
 
Sebagai pemimpin tinggi PKR, tentu akan ada tuduhan bahawa dapatan kaji selidik tersebut berpotensi digunakan bagi melonjakkan imej PKR sebagai peneraju utama Pakatan Harapan (PH)
 
Tuduhan ini tidak boleh dipandang remeh kerana PKR didapati paling diterima oleh pengundi parti komponen PH lain, iaitu 87.2% pengundi DAP, 80.4% pengundi Amanah dan 80.3% pengundi PPBM.
 
Ini berbanding PPBM yang hanya diterima oleh 61.4% pengundi DAP, 66.3% pengundi PKR dan 78.0% pengundi Amanah.
 
Amanah hanya diterima oleh 61.0% pengundi PKR, 65.5% pengundi DAP dan 68.2% pengundi PPBM manakala DAP pula hanya diterima oleh 69.8% pengundi PPBM, 81.7% pengundi PKR dan 85.1% pengundi Amanah.
 
Berdasarkan dapatan kaji selidik ini, maka Amanah kelihatan paling menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi tetapi tidak mendapat balasan sama dari ketiga-tiga parti komponen lain, khususnya PKR.
 
Masalah kelihatan berlaku di dalam hubungan antara PKR dan Amanah apabila hanya 61.0% pengundi PKR sahaja menerima Amanah berbanding 80.4% pengundi Amanah yang menerima PKR.
 
Begitu juga dengan hubungan antara PKR dan PPBM yang turut tidak seimbang apabila hanya 66.3% sahaja pengundi PKR menerima PPBM berbanding 80.3% pengundi PPBM yang menerima PKR.
 
Hubungan antara DAP dan Amanah juga kelihatan tidak seimbang bila hanya 65.5% pengundi DAP sahaja menerima Amanah berbanding 81.5% pengundi Amanah yang menerima DAP.
 
Begitu juga dengan hubungan antara DAP dan PPBM yang kelihatan tidak seimbang bila hanya 61.4% pengundi DAP sahaja menerima PPBM berbanding 69.8% pengundi PPBM yang menerima DAP.
 
Kesemua ini mendedahkan ketidakikhlasan antara sesama parti komponen PH, khususnya DAP terhadap PPBM dan Amanah serta PKR terhadap Amanah dan PPBM.
 
Oleh itu, dalam pada ia menunjukkan penerimaan semua komponen PH terhadap PKR, dapatan kajiselidik ini juga menunjukkan belang sebenar bukan sahaja PKR tetapi juga DAP terhadap parti-parti rakan mereka.
 
Ia menjadi petanda awal betapa parti-parti komponen PH ini, khususnya PKR dan DAP, mempunyai kecenderungan untuk mensabotaj antara satu sama lain demi kelangsungan politik sendiri.
 
Amanah dan PPBM seharusnya memikirkan semula tahap komitmen mereka terhadap DAP dan PKR apabila dapatan kaji selidik ini menunjukkan kedua-dua parti ini tidak ikhlas terhadap mereka.
 
Umumnya, dapatan kaji selidik ini bahawa BN mendahului atau PAS tercorot tidak menjanjikan apa-apa apabila jumlah responden yang tidak memberitahu parti yang mereka akan undi adalah terlalu tinggi, iaitu 35%.
 
Sekali lagi, dapatan kajiselidik ini mungkin sahaja akan ditafsirkan sebagai satu perang psikologi bagi melekakan BN atau bagi melemahkan semangat PAS. – HARAKAHDAILY 
 
Penulis ialah Pengarah, Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia
 
 

PAS sokong mansuh dasar kabotaj untuk Sarawak

Jofri Jaraiee

 
 
KABOTAJ adalah pengangkutan barangan atau penumpang antara dua titik dalam negara yang sama. Asalnya bermula dengan perkapalan, kabotaj kini juga meliputi penerbangan, kereta api dan pengangkutan jalan. Kabotaj adalah "perdagangan atau pelayaran di perairan pantai, atau, hak eksklusif negara untuk menguruskan trafik udara di wilayah itu. Dari segi politik, kabotaj adalah untuk mengawal had perdagangan dengan syarikat tempatan dikenali sebagai perlindungan. Asas bagi peraturan kabotaj termasuk keselamatan negara dan keperluan untuk melindungi keselamatan awam.
 
Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Abang Haji Openg setiap barang yang kita import perlu melalui Pelabuhan Klang. Pada masa lalu, mungkin ia boleh diterima kerana terdapat kekurangan volum tetapi sekarang, kami telah mewujudkan perdagangan antarabangsa.
 
Jadi ia adalah masa untuk menghapuskan kabotaj supaya kapal-kapal dari luar negara boleh datang terus ke Sarawak.
 
PAS menyokong penuh saranan Ketua Menteri Sarawak agar Sarawak diberi kebebasan untuk mengimpot barangan dari luar tanpa perlu melalui Pelabuhan Klang. Jarak perjalanan dan untuk kapal dagang dari luar berurusan dengan Pelabuhan Klang menyebabkan barang dari China dan Jepun menjadi lebih mahal.
 
Kos pengangkutan untuk berulang-alik untuk sampai ke pelabuhan yang terdapat di Sarawak menjadi mahal disebabkan terpaksa melalui Pelabuhan Klang.
 
Dari dulu lagi kita pernah sarankan pemansuhan dasar kabotaj di Sarawak kerana ianya boleh mengurangkan kos harga barangan untuk rakyat Sarawak. Dengan pemansuhan dasar kabotaj ini sekurang-kurangnya harga barangan di Sarawak akan setanding atau kurang dari harga barangan dari Semenanjung Malaysia.
 
Dalam keadaan ekonomi yang semakin gawat dan tidak stabil ini maka seharusnya kerajaan persekutuan memansuhkan dasar kabotaj untuk Sarawak dan Sarawak berhak mendapatkan kuasa autonomi bagi memudahkan urusan perdagangan di peringkat antarabangsa.
 
Mungkin ini adalah salah satu cara untuk mengurangkan beban pengguna yang terpaksa bayar lebih harga barangan dari luar negara. Kita menggesa kerajaan persekutuan dapat menilai sendiri pemintaan kerajaan Sarawak ini kerana ianya melibatkan pengguna serta keperluan rakyat tempatan.
 
Pemansuhan dasar kabotaj juga boleh merangsangkan lagi pembangunan dan meringankan kos pelan pembangunan infrastruktur asas di negeri ini seperti bahan-bahan binaan yang murah dan pengguna juga boleh membeli barangan keperluan dengan harga yang berpatutan. Kerajaan juga perlu memantau harga barangan keperluan agar ianya tidak dijual dengan harga yang terlampau tinggi sehingga membebankan pengguna.
 
Mudah-mudahan hasrat kerajaan dan rakyat Sarawak untuk melihat pemansuhan dasar kabotaj oleh kerajaan persekutuan menjadi kenyataan dan boleh meringankan beban harga kos barangan keperluan asas di Sarawak. Sarawak tidak memerlukan dasar kabotaj kerana ia tidak adil bagi negeri ini. - HARAKAHDAILY
 
*   Jofri Jaraie Pesuruhjaya PAS Sarawak
 
 

Harga bahan api turun bermula Khamis

ANTARAPOS.COM
Post Pic


PETALING JAYA: Harga bahan api akan jatuh secara menyeluruh bagi penghujung April mengikut mekanisme harga mingguan baharu.

Harga petrol RON95  turun sebanyak enam sen kepada RM2.21 seliter berbanding RM2.27 minggu lalu, manakala harga petrol RON97 akan turun lima sen kepada RM2.49 seliter.

Harga diesel juga  turun sebanyak tujuh sen kepada RM2.14 berbanding RM2.21 seliter minggu lepas.
Harga baharu berkuat kuasa Khamis sehingga 3 Mei ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan harga baharu bahan api mingguan baru di laman Twitter pada Rabu.

Sebelum ini, menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa satu mekanisme harga bahan api mingguan baru akan digunakan bermula April.

Harga petrol dan diesel telah diletakkan pada sistem apungan bulanan berjaya sejak 1 Disember, 2014, berikutan penghapusan subsidi bahan api.

Dengan mekanisme mingguan baru, harga minyak akan diumumkan setiap  Rabu dan berkuat kuasa selepas tengah malam.

Selasa, 25 April 2017

PAS: Kini waktu terbaik dedah laporan 1MDB

MALAYSIAKINI


Sekarang adalah waktu terbaik untuk mendedahkan laporan 1MDB kepada umum, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kenyataan itu dibuat susulan persetujuan penyelesaian 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) selepas proses timbang tara bertahun lamanya melibatkan pertikaian berbilion dolar.

“Memandangkan 1MDB menyebut bahawa penyelesaian timbang tara ini merupakan sebahagian besar daripada pelan rasionalisasi 1MDB, sudah tiba masanya laporan audit 1MDB didedahkan kepada umum bagi rakyat memahami bagaimana pelan rasionalisasi ini akan dijayakan.

“Sepatutnya tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan daripada laporan 1MDB itu,” kata Tuan Ibrahim.

Menurut penyata kepada Bursa Saham London, IPIC semalam berkata, pihaknya akan menerima sejumlah AS$1.2 bilion menerusi dua kali bayaran yang sama pada 31 Julai dan 31 Disember ini.

1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pula bersetuju memikul tanggungjawab dalam dua bon yang diterbitkan oleh kumpulan 1MDB yang dijamin oleh 1MDB dan IPIC.

Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim berkata walaupun itu dinamakan "penyelesaian", ia langsung tidak menguntungkan 1MDB mahupun Malaysia.

Katanya, IPIC mendapat hampir segala yang dituntutnya pada 2016.

Sementara, Kementerian Kewangan pula, kata Tuan Ibrahim lagi, terdedah dengan pembayaran hutang berserta faedah sehingga mencecah AS$4.7 bilion.

Ini termasuk AS$1.2 bilion yang dipinjam kepada 1MDB pada 2015 dan semua tanggungjawab semua faedah masa depan dan pembayaran wang pokok dua bon berjumlah AS$3.5 bilion yang akan matang pada 2022.

“1MDB menyebut bahawa pengewangan unit dana pelaburan menjadi satu cabaran besar dalam mematuhi penyelesaian timbang tara antara 1MDB dan IPIC.

“Sekiranya 1MDB gagal menunaikan unit dana pelaburannya, siapa yang bakal membayarnya? Apakah duit akan disedut dari rakyat lagi?” soalnya.


'Disuruh goyang, saya goyanglah'

MALAYSIAKINI

]


'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin hari ini mendedahkan semua aksi yang kononnya menjalankan upacara tertentu semata-mata lakonan.

Malah, menerima arahan daripada pihak yang dirahsiakan identitinya, beliau mengaku berlatih supaya persembahan itu menarik.

Lakonan beliau itu, termasuklah aksi menggoyang teropong buluh dan menjulang buah kelapa ketika upacara mencari pesawat hilang Malaysia Airlines dan memagar negara ini daripada ancaman asing.

“Goyang itu semua drama. Apa pun tak nampak. Jangan silap kata nampak kapal terbang ke... Saya dilatih suruh buat goyang, saya pun goyanglah,” katanya.

“Ambil buah kelapa macam bom, saya buat tetapi saya tak tahu salah pula. Demi Allah demi rasul saya tak tahu salah,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Al Bakri yang menegurnya.

Pengakuan itu dibuat dalam sidang medianya bersama Zulkifli bagi memohon maaf atas tindakannya yang didakwa menghina Islam.

Sebelum ini Ibrahim ditahan oleh JAWI di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 22 April lalu.

Dalam acara yang dirakam video Facebook jabatan itu, Ibrahim juga mendedahkan diminta melakonkan kesemua “lima drama untuk seronokkan cerita”.

Bagaimapun, katanya, jika tahu perkara itu salah, sudah tentu beliau tidak akan melakukannya.

“Kalau tahu saya tak buat kerana saya orang sembahyang, orang Islam, semangat Melayu, saya pegang silat sebanyak lima juta orang silat gayung ghaib.



“Saya sebagai pemimpin (silat), didik anak-anak bangsa. Rakyat-rakyat Malaysia pun saya sayang. Takkan saya nak buat kerja bodoh ini,” katanya.

Beliau juga mendedahkan gelaran “raja bomoh” itu juga dibubuh oleh pihak yang enggan dinamakannya itu dan justeru beliau enggan memakainya lagi.

“Gelaran tak mahu pakai. Gelaran Raja Bomoh pun bukan saya yang bubuh.

"Dia cakap (pada saya), 'Brahim, you cakap you Raja Bomoh dunia, world. Bila Raja Bomoh world, dunia ini, makanya kuatlah'.

“Saya pun terkejut juga, nak dunia macam mana. Hari ini, tak usahlah panggil saya Raja Bomoh.

“Saya seorang mahaguru Datuk Ibrahim Mat Zain saja. Dulu pun macam itu juga, orang panggil saya, tak ada raja-raja bomoh.

“Bila saya dah gantung (gelaran) raja bomoh, raja pecut ada, raja lawak ada, raja repot ada, semua raja, nak pakai saja. Hari ini semua raja saya tak nak, biar jadi rakyat biasa,” katanya sambil ketawa kecil.


Adam Rosly Wajar Lalui Proses Displin Di Peringkat Parti




 
Oleh RAFIZI RAMLI

Skrin TV, telefon dan dada akhbar hebat membincangkan kes yang melibatkan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Ampang, Saudara Adam Rosly yang didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan.

Media yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional dan penyokong parti-parti yang tidak sehaluan dengan KEADILAN/Pakatan Harapan hebat mengkritik KEADILAN dan menggunakan pertuduhan terhadap Saudara Adam Rosly ini sebagai bukti bagaimana KEADILAN pun terpalit dengan rasuah dan penyelewengan seperti mana sering saya dedahkan berlaku di dalam Umno/Barisan Nasional.

Sebenarnya KEADILAN amat tegas mengenai perkara-perkara yang bersabit dengan tata kelola dan keamanahan. Sebab itu setahun yang lalu, saya sendiri sebagai Setiausaha Agung KEADILAN pada ketika itu dengan diiringi pimpinan-pimpinan lain membuat laporan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang diadukan kepada saya yang didakwa berlaku di Selangor.

Malah, saya secara berterusan di dalam saluran rasmi dan tidak rasmi parti mengingatkan pimpinan dan aktivis parti bahawa gerak geri kita diperhatikan oleh rakyat. Saya konsisten menegaskan bahawa piawai moral dan keamanahan yang perlu kita buktikan kepada rakyat adalah lebih tinggi dari parti-parti lain kerana KEADILAN dihargai rakyat hasil dari perjuangan berterusan kita menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbiran sedia ada.

Sebab itu semasa kekayaan Saudara Adam Rosly mula-mula menarik perhatian ramai, saya dengan serta-merta menasihatkan beliau supaya mengisytiharkan harta. Ada perbezaan di dalam parti apabila ada yang beranggapan beliau tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan.

Saya telah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana piawai moral dan keamanahan (“moral dan integrity standards”) yang dipegang KEADILAN mestilah lebih tinggi dari parti-parti lain. Sama ada seseorang itu menjawat jawatan awam atau tidak, seseorang yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat. Maka, jika kekayaan itu dikumpul secara sah dan tanpa melibatkan kepentingan awam, saya yakin mana-mana pimpinan dalam parti ini boleh mengisytiharkan harta dengan mudah.

Pendirian saya itu tidak berubah. Saya masih berpendapat Saudara Adam Rosly boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret KEADILAN ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin. Keadaannya berbeza sekarang kerana keengganan beliau mengisytiharkan harta telah mengheret nama baik KEADILAN sehingga dijadikan bahan serangan oleh musuh-musuh politik KEADILAN.

Oleh sebab itu juga saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain akan mengusulkan supaya satu tindakan diambil yang boleh menjarakkan kemelut peribadi beliau dari mengheret KEADILAN dan Pakatan Harapan, sama ada melalui keputusan bersama kepimpinan KEADILAN untuk membolehkan beliau (Saudara Adam Rosly) “bercuti” dari jawatan parti sehingga kes beliau selesai, atau melalui kaedah Lembaga Disiplin seperti yang disuarakan oleh Dato’ Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden.

Apa pun, saya berharap seluruh kekuatan parti dari akar umbi ke peringkat pimpinan mengambil langkah untuk menjarakkan parti dari kemelut peribadi seperti ini.

Ada yang bimbang jika sebarang langkah yang meminta beliau “bercuti” akan menetapkan satu teladan bahawa mana-mana pimpinan yang didakwa di mahkamah perlu juga “bercuti” dari jawatan.

Saya menyeru rakyat supaya membezakan di antara kes-kes yang jelas ia satu perancangan jahat untuk menutup mulut lawan (seperti pendakwaan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim), kes-kes yang melibatkan pembelaan rakyat dan tidak bersifat kepentingan peribadi (contohnya pendakwaan kes OSA yang melibatkan kebajikan veteran tentera); berbanding dengan kes-kes peribadi seperti ini bila mana seorang penjawat jawatan di dalam parti tidak dapat menerangkan kekayaan beliau sehingga didakwa berbohong.

Saya yakin kepimpinan dan aktivis parti dapat membezakan dan menangani setiap kes mengikut kepentingannya kepada parti.

Saya tetap percaya rakyat dapat membezakan kes-kes yang melibatkan setiap pimpinan dan penjawat jawatan di dalam KEADILAN. Pun begitu, KEADILAN mesti dilihat tegas dan berpegang kepada piawai moral dan keamanahan yang jauh lebih tinggi berbanding parti-parti lain.

Oleh itu, satu tindakan yang menjarakkan KEADILAN sebagai parti dari kemelut peribadi Saudara Adam Rosly ini perlu diputuskan segera terutamanya dalam keadaan PRU14 boleh dipanggil pada bila-bila masa.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Pas tak pernah lari dari misi lawan Umno



Oleh Marlia Zakaria




SHAH ALAM - Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menafikan dakwaan bahawa parti itu sudah mulai bongkak apabila mahu bersendirian menentang Umno/BN.

Beliau berkata, matlamat parti itu tidak pernah lari daripada misi menumbangkan Umno/BN pada PRU14 tetapi bukan bersama Pakatan Harapan.

“Tidak timbul soal sombong dan bongkak. Umno adalah musuh tradisi Pas sekian lama sebelum wujudnya parti-parti lain termasuk Amanah,” katanya melalui aplikasi Whatsapp, semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, menyelar kenyataan Pas yang mengarahkan pembangkang berundur dan memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding sendirian menentang Umno/BN.

Sementara itu di HULU SELANGOR, Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata Pas bersedia bertanding di 45 daripada 56 kerusi Dun dan 15 daripada 22 kerusi di Selangor.

Beliau berkata, mereka akan meletakkan calon jika tiada persetujuan pembahagian kerusi dicapai.

"Keputusan itu akan dibuat berdasarkan perkembangan semasa, kerana kami tidak lagi terikat dengan perjanjian pada 2013 semasa bersama Pakatan Harapan," katanya.

Beliau berkata, Pas Selangor telah menghantar senarai nama calon kepada Pas Pusat untuk dipertimbangkan-S/H

'PAS tegas pertahan pendirian atas dasar kewajipan bukan sombong

ANTARAPOS.COM
Post Pic


KUALA LUMPUR: Pendirian tegas PAS mempertahankan prinsip perjuangan adalah atas dasar kewajipan bukan sombong, demikian kata pengarah penerangannya, Ahmad Amzah Hashim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang melabel parti itu sebagai sombong kerana menyuruh parti pembangkang lain supaya memberi jalan kepadanya untuk bertanding satu lawan satu dengan Umno bagi Pilihan Raya Umum 14 (PRU14).

Ahmad Amzad berkata, komposisi umat Islam lebih 64 peratus dalam Malaysia, tetapi urusan dan hak mengamalkan agama Islam kini bagaikan perlu surat minta izin dari mereka yang minoriti pula, sekalipun hal berkenaan sikitpun tidak melibatkan orang bukan Islam.

“Kini dalam soal politik pun, rosaknya pemikiran umat Islam yang terpengaruh aliran liberalisme, sekularisme, pluralisme, gerakan feminisme dan LGBT konon berpaksikan kebebasan intelektual sedang mengajak rakyat menerima Pakatan Harapan yang jelas hala tujunya dikawal oleh DAP, yang keras serta jelas pendirian anti-Islamnya.

“DAP mahu memaksakan versi Islam yang ditentukan olehnya sepertimana ia mengawal fatwa di Pulau Pinang perlu mendapat kelulusan Exco Pulau Pinang yang terdiri cuma tiga orang Islam dan tujuh bukan Islam dengan dipengerusikan oleh pemimpin DAP sendiri,” tambahnya.

Ahmad Amjad berkata, jelas daripada tingkah laku dan kenyataan pemimpinnya, Pakatan Harapan telah mengambil posisi kebersamaan dengan DAP dalam isu ini.

“Dalam semua keadaan ini, adalah tidak patut bagi PAS tunduk dalam apa keadaan sekalipun sejajar sifat PAS sebagai sebuah parti Islam, harapan agama Islam, harapan umat Islam,” katanya.

Ahad lalu, Ketua Penerangan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan sebagai “mengarah” semua parti pembangkang supaya jangan bertanding dalam 80 kerusi PAS pada PRU14 bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dengan Umno.


Siapa kedekut, siapa tamak dalam pengagihan kerusi pembangkang?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Nampaknya tidaklah begitu mudah bagi parti-parti pembangkang untuk menyusun saf barisan yang ampuh menghadapi Umno-BN dalam pilihanraya umum ke-14 yang akan datang.
 
Banyak masalah titik bengik yang harus diatasi kerana laras pemikiran politik parti-parti pembangkang jelas agak berbeza menurut pengalaman masing-masing.
 
Parti Amanah misalnya, masih sukar menerima sikap PAS yang dilihatnya cuba menunjuk “kuat” setiap kali berurusan dengannya. Ini menjengkelkannya dan ia pun bersikap ofensif terhadap parti leluhurnya itu.
 
Banyak gelagat PAS yang kurang disenanginya. Begitu juga dengan PPBM. Ia masih sukar memahami bagaimana formula ‘satu lawan satu’ Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesan menafikan majoriti dua pertiga Umno-BN dengan PAS bersikap “ketegar” begitu.
 
Mungkin ini semua berlaku kerana PAS keberatan bekerjasama dengan parti Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebab ia menyertai Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai musuh PAS iaitu Amanah dan DAP.
 
PPBM dan Amanah masih sukar memahami bagaimana PAS sedia berbaik dengan Umno tetapi masih mengisytiharkan bahawa musuh utamanya ialah Umno dan kini mahu mencabar Umno sendirian.

Silat PAS rumit bagi Amanah. Benarkah PAS ada hak memberi amaran atau menyekat parti pembangkang lain turut bertanding di 80 buah kerusi yang ingin ditandinginya pada PRU akan datang?
 
Sejak Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali melontarkan amaran itu demi “mengelak pertembungan tiga penjuru ketika PAS menentang Umno”, pelbagai reaksi diberikan.
 
Yang paling beremosi ialah parti Amanah dan tidak kurang kasarnya juga ialah reaksi dan suara menentang dari dalam parti PAS sendiri. 
  
“Itu hak siapa-siapa sahaja dalam masyarakat demokrasi untuk bertanding. Malah calon bebas pun boleh bertanding dalam negeri ini, tak kan dia (PAS) tak faham demokrasi, dia (PAS) tiada hak untuk memberi amaran kepada kami atau sesiapa.
 
“Empat penjuru, lapan penjuru pun nak buat macam mana kalau dia dah memilih begitu. Dia (PAS) yang tidak mahu bersatu di bawah pembangkang, dalam pakatan…
 
“Jadi apa boleh buat. Dia (PAS) dah lebih dekat dengan Umno, dia dah jadi jurucakap Umno dah sekarang ni,” ujar Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir.
 
Persoalannya ialah, benarkah PAS tiada hak untuk berpendirian demikian? Tidakkah Anuar faham kedudukan PAS dalam politik Malaysia hari ini? 
 
PAS sebuah parti pembangkang. Sasaran lawannya ialah Umno. Namun PAS mahu melakukan penentangan itu bersendirian. Hanya muktamarnya hujung bulan ini mungkin boleh menyambung tahaluf dengan PKR.
 
Anuar Tahir emosional. Ia melihat kenyataan Datuk Khairuddin sebagai “menjengkelkan” sedangkan PAS mencerna pendirian itu berdasarkan  gelombang politik mutakhir ini.
 
Berulang kali PAS menyatakan ia tidak boleh bekerjasama dengan DAP yang anti-perjuangan Islamnya dan Amanah yang telah “mengkhianatinya”.
 
PPBM mahu bekerjasama dengan PAS tetapi tidak mahu ikut syarat PAS supaya tidak bekerjasama dengan Amanah atau DAP.  Kini PKR pun berdebar menunggu muktamar PAS sama ada parti itu akan memutuskan tahaluf dengannya.
 
Sebagai entiti politik, PAS bebas menyatakan di mana ia hendak bertanding. Ia memilih 80 kerusi yang pernah ditandinginya. Soal ia boleh menang atau tidak, itu perkara lain. 
 
Namun sejarah menitipkan sejak sebelum 2008 pun PAS sudah akur pada strategi “satu lawan satu” untuk mengalahkan Umno-BN. 
 
Justeru kali ini PAS mengingatkan supaya parti pembangkang lain jangan “campur” pertarungannya dengan Umno. Bukankah itu hak PAS untuk menentukan strateginya? 
 
Malangnya, PAS tidak menganggap Amanah dan DAP sebagai parti “kawan”. Maka wajarlah ialah memberi “amaran” awal kepada pembangkang lain jangan “ganggu” pertarungannya dengan Umno-BN.
 
Jika Amanah berasa ia ada kekuatan untuk menghadapi Umno di mana sahaja termasuk di kerusi yang ditandingi PAS dan, diizinkan pula oleh Pakatan Harapan, apa perlu dipersoalkan strategi PAS? Teruskan sahajalah.
 
Lenih penting lagi, jika Amanah dan PPBM faham konsep “satu lawan satu” pasti ia “tidak mengganggu” strategi PAS kerana ia bukan kerabat PH.
 
PKR masih mahu cuba berdiplomasi. Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution melontarkan formula 'parti lama jangan kedekut dan parti baru jangan tamak'.
  
"Jangan asal kami paling lama, ahli paling ramai, kami berpengalaman (dan) lebih teruji, pemimpin kami lebih lama kena tangkap, maka kami mesti dapat lebih kerusi. Tak boleh.
 
"Tapi parti baru pun tak boleh tamak. Yang ini aku (punya), yang ini aku (punya), yang ini aku (punya), tak boleh jugak," katanya di Konvensyen PH Wilayah Persekutuan minggu lalu. 
 
Ini mengelirukan PPBM. Pada asasnya ia bersetuju dengan formula Saifuddin namun Ketua Penerangannya, Datuk Kamarudin Md Nor menegaskan, soal kebolehmenangan (winnability) tetap perlu dijadikan asas pertimbangan. 
 
Katanya, kriteria ini sudahpun dikenalpasti dan dipersetujui dalam perbincangan agihan kerusi dan dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini. 
 
Tambah Kamaruddin, tidak timbul soal parti baru atau lama, sebaliknya faktor kebolehmenangan di sesuatu kawasan dan calon bertanding adalah elemen yang perlu dititikberatkan.
  
"Parti lama yang sudah biasa bertanding semua takkan dia nak bertanding selama itu juga. Jadi tiada kesempatan parti baru untuk bertanding.
 
"Tapi saya punya pandangan ini soal winnability. Soal bertanding untuk menang, bukan bertanding kerana hendak bertanding," katanya.
 
Sementara, itu bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menganggap pendirian PAS itu bongkak. Baginya berpendirian pedas dan pedih ini adalah  caranya menunjukkan rasa sayangnya pada parti. 
 
Mungkin ini ada benarnya. Namun setidak-tidaknya Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah nampaknya lebih faham pendekatan dan pendirian PAS hari ini.