ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Bunyi salakan anjing yang gamat telah menyelamatkan
sepasang suami isteri pemilik kedai buah yang menyedari kehadiran ular
tedung selar sepanjang empat meter di bawah rak buah kedai mereka di
Kampung Melayu, Batu Arang di Selangor malam ini.
Ketua balai bomba dan penyelamat Batu Arang Yazli Yahya berkata
pasangan suami isteri berusia 50-an itu berasa hairan apabila anjing
peliharaan mereka membuat bising luar biasa berhampiran rak buah yang
terletak di belakang kedai pada kira-kira pukul 7 malam.
"Setelah mereka memeriksa kawasan rak buah itu, mereka tergamam apabila
menemui seekor ular tedung selar yang besar dan berukuran sepanjang 13
kaki (4 meter).
"Kami segera mengerahkan seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera
ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada
pukul 7.13 malam dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian,"
katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.
Yazli berkata pasukan bomba berjaya menangkap haiwan reptilia berbisa
berkenaan menggunakan alat penjerut ular dalam masa kurang dari tiga
minit.
"Ular itu dipercayai datang dari hutan simpan berhampiran," katanya.
Beliau berkata ular berkenaan dibawa ke balai bomba dan penyelamat Batu
Arang sebelum dilepaskan ke Hutan Simpan Batu Arang yang terletak jauh
dari kawasan perumahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan