Jumaat, 28 April 2017

Amanah dakwa SPR larang ed‎ar Rang Daftar Pemilih Tambahan

Shawaliah Hadir

SPR perlu memberi kesahihan tentang dakwaan tersebut dalam tempoh seminggu sebelum Pemuda Pakatan Harapan mengadakan demo bantahan di ibu pejabat pengendali plihan raya itu

PUTRAJAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan arahan larangan pengedaran salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan kepada semua parti politik.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pemuda Amanah Mohd Taqiuddin Che Man, perkara tersebut kini tular di laman sosial dan menimbulkan ketidakpuasan hati kepada para parti pembangkang yang menyifatkannya sebagai membebankan serta tidak telus dalam menyenaraikan maklumat pengundi menjelang pilihan raya yang akan datang.

“Melalui surat edaran bertarikh 18 April 2017, Setiausaha SPR Malaysia Abdul Ghani Salleh mengarahkan semua SPR negeri untuk menghentikan pengedar salinan itu kepada parti-parti politik di Malaysia.

“Edaran ini penting untuk parti politik sebagai agen semak dan imbang terhadap maklumat pengundi dalam PRU14,” katanya kepada wartawan.

Beliau terdahulu hadir ke ibu pejabat SPR untuk menyerahkan memorandum bantahan.

Memorandum tersebut diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR Mohd Sabri Abdullah.

Tambah Taqiuddin, SPR perlu memberi kesahihan tentang dakwaan tersebut dalam tempoh seminggu sebelum Pemuda Pakatan Harapan mengadakan demo bantahan di ibu pejabat entiti itu.

“Kami mahu mendapat kesahihan adakah benar surat ini? Dan kalau benar kami membantah sekerasnya tindakan SPR itu sendiri,” katanya lgi.

Dalam surat arahan yang didakwa menjadi tular baru-baru ini Abdul Ghani melarang pengedar salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan dalam bentuk buku dan cakera padat kepada semua parti politik.

Tiada ulasan: