Sabtu, 29 April 2017

Mohamad Norza Presiden baharu BAM

 Bernama

Sebelum ini jawatan nombor satu sukan itu menjadi tumpuan apabila tercetusnya ‘gentlemen’s agreement’ iaitu perjanjian antara Mohamad Norza, Tengku Mahaleel dan bekas pemangku presiden, Mohamed Al-Amin  Abdul Majid mengenai jawatan kerusi panas itu

PETALING JAYA: Mohamad Norza Zakaria kini secara rasminya menyandang jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas dipilih sebulat suara oleh Ahli Majlis badan induk itu bagi penggal 2017/2021.

Mohamad Norza menggantikan Tengku Mahaleel Tengku Ariff  berkuat kuasa hari ini sekali gus menyaksikan BAM masih mengekalkan tradisi 32 tahun untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi sukan itu.

Beliau akan dibantu dua timbalan presiden iaitu Abdul Aziz Hussain dan Lim Teong Kiat.

Jawatan setiausaha kehormat BAM masih disandang Ng Chin Chai  yang mengekalkan jawatan itu selama tujuh tahun berturut-turut manakala V Subramaniam dipilih memegang jawatan bendahari.

Sebelum ini jawatan nombor satu sukan itu menjadi tumpuan apabila tercetusnya ‘gentlemen’s agreement’ iaitu perjanjian antara Mohamad Norza, Tengku Mahaleel dan bekas pemangku presiden, Mohamed Al-Amin  Abdul Majid mengenai jawatan kerusi panas itu.

Namun isu tersebut selesai setelah Mohamed  Al Amin bersetuju memberi laluan kepada Mohamad Norza selepas diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada sidang media yang turut dihadiri Penaung BAM, Rosmah Mansor di Kompleks Seri Perdana baru-baru ini.

Ahli majlis BAM juga bersetuju untuk melantik Mohamed Al Amin sebagai Penasihat BAM.

Seramai 14 ahli gabungan hadir pada AGM yang diadakan di Hotel Dorsett Subang di sini.

Tiada ulasan: