Jumaat, 9 Disember 2016

Pelik, PAS kenduri selepas pilihan raya walau kalah


 
Oleh ROSLI ABDUL JABAR


KERJA pilihan raya memang memenatkan apatah lagi pada hari-hari terakhir, masa zaman APU poster PAS ditampal bersama poster Semangat 46, masa zaman BA kami turut menampal poster DAP dan Adil sehinggalah zaman PR, poster PAS ditampal bersama dengan poster parti dalam Pakatan.

Namun tak pernah pula rasa sesal walaupun tidak mendapat upah, malahan abila habis bendera dan poster, pakat-pakat cari duit dan kutip sesama sendiri untuk beli bahan kempen. Tak pernah pulak rasa sia-sia apabila PAS kalah dalam pilihan raya, malahan apabila habis pilihan raya walaupun kalah sibuk pula cari duit untuk buat kenduri kesyukuran.

Begitulah PAS dari dulu hingga sekarang, apabila pilihan raya sibuk bekerja, habis pilihan raya sibuk pulak berkenduri walaupun kalah, orang pun jadi pelik tengok PAS, yang pelik tu biasanya orang tak faham dengan perjuangan PAS. Kalau menang takpe lah nak kenduri, kalah dengan majoriti besar pun kenduri juga.

Masa saya bertanding di Lepar dulu, saya kalah dengan majoriti 3887, keseluruhan cawangan PAS dalam Dun Lepar berkenduri sehingga 16 ekor lembu ditumbangkan. Dah lah tu, ahli-ahli yang datang kenduri pula ucapkan 'tahniah', kalah pun tahniah juga. Biasanya yang pelik dengan situasi itu ialah mereka yang tidak memahami prinsip perjuangan PAS.

Seorang ahli Umno di tempat saya, kami berkawan baik, saya belum kahwin lagi masa tu, saya turut hantar bil jemputan kenduri kesyukuran padanya, dia tanya saya "PAS menang ke?, saya kata "tak, PAS kalah", dia tanya lagi "habis tu, kenduri bakpe?", teringat lagi wajah kepelikan dia, tapi dia datang dan pengisian malam tu disampaikan oleh Allahyarham Ustaz Bunyamin Yaakob.

Ucapannya sangat menarik perhatian sahabat saya ni, baru dia faham kenapa PAS buat kenduri kesyukuran walaupun kalah. Kini dia dah masuk PAS, kini dia antara pembantu tegar saya terutama waktu pilihan raya dan dialah orang yang sentiasa sibuk memasak kenduri selepas pilihan raya walaupun PAS kalah.

Sesekali kami dapat berjumpa dan bersembang, ingat lagi saya ke dapur berjumpa dengan dia waktu dia memasak untuk kenduri selepas PAS kalah di DUN Tanjung Lumpur 2004, "takpelah kalah pun, akan datang kita lawan lagi, yang penting kita syukur pada Allah Ustaz, Allah jadikan hati kita sentiasa cenderung untuk berjuang dan berusaha agar hukum Allah dapat dilaksanakan, kalau tidak habislah penat lelah kita ni jadi sia-sia belaka," katanya.

"Syukur itu tidak tertentu kepada nikmat yang dapat dilihat secara jelas sahaja, ada juga perkara yang tidak jelas nikmatnya tetapi mengandungi hikmah, sihat itu nikmat, sakit itu mengandungi hikmah, keduanya adalah kebaikan apabila manusia melihat itu sebagai takdir dari Allah SWT yang mengandungi hikmah lalu tercetuslah rasa syukur kepada Allah SWT".

Begitu juga dengan kalah atau menang pilihan raya, menang adalah ujian kalah pun ujian Allah juga, apa yang sangat-sangat kita syukuri ialah kita dapat membantu perjuangan ini dan juga menang atau kalah tidak sedikitpun menjadikan kita lari daripada prinsip perjuangan kita iaitu al-Qur'an, Hadis, Ijma dan Qias", kerana itulah PAS berkenduri selepas pilihan raya walaupun kalah.

Tiada ulasan: