Khamis, 8 Disember 2016

PAS INGIN LIHAT UMNO MENANG, CUMA AGAK KESIPUAN UNTUK BERTERUS-TERANG

shahbudindotcom


Pas semalam seolah-olah memberi kata dua kepada PPBM iaitu mereka tidak boleh menjalin hubungan dengan DAP dan Amanah jika mahu bekerjasama dengan parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, syarat itu telah pun diberikan kepada PPBM dalam pertemuan sebelum ini.

Kita telah mengadakan pertemuan sebelum ini dan memberikan beberapa syarat, antaranya jika PBBM ingin mengadakan hubungan dengan Pas, mereka tidak seharusnya ada hubungan dengan DAP dan Amanah...itu pilihan untuk mereka, kaya Takiyuddin lagi.

Dalam erti kata lain, syarat Pas itu bermaksud kiranya PPBM memilih untuk menjalin hubungan dengan Pas, mereka mesti memutuskan hubungan DAP dan Amanah, sebaliknya jika bekerjasama dengan DAP dan Amanah,  parti itu kehilangan sama-sekali peluang untuk bekerjasama dengan Pas.

Walaupun syarat Pas itu agak pelik kerana mereka sebenarnya masih bersama dalam kerajaan negeri Selangor yang di dalamnya ada DAP dan Amanah, mari kita cuba fahami di sebalik kata dua Pas kepada PPBM itu.
 
 
 
 
Senario 1 - PPBM memilih untuk bekerjasama hanya dengan PAS, tapi tidak dengan DAP dan Amanah.

Dalam keadaan ini, PPBM atau Pas akan kalah di banyak kerusi campuran yang ditandinginya kerana tidak mendapat sokongan daripada DAP yang disokong antara 80 hingga 90 peratus oleh pengundi Cina.

Di kerusi-kerusi campuran yang terdapat pengundi bukan Melayu di mana PPBM atau Pas bertanding, sokongan kaum itu tidak mungkin diperolehi kerana DAP sudah tentu akan tidak tidak turun berkempen berikutan tiada kerjasama dengan parti itu.

Apabila DAP tidak berkempen dan hanya MCA serta Gerakan yang datang menyantuni pengundi bukan Melayu, mereka tiada pilihan lain selain mengundi calon BN. 

Dengan sokongan mutlak pengundi bukan Melayu, tetapi pengundi Melayu berpecah, akhirnya  yang paling berpotensi untuk menang ialah calon UMNO dan BN.

Di kerusi-kerusi majoriti Melayu pula, kedudukan antara UMNO dengan PPBM atau Pas yang bertanding boleh jadi seimbang keadaannya. 

Bagaimanapun, sebagai parti yang menguasai kerajaan, memiliki banyak wang dan PRU 14 merupakan pertarungan hidup dan mati, UMNO akan melakukan apa saja "do or die" untuk mencapai kemenangan.

Senario 2 - PPBM bekerjasama dengan DAP dan Amanah, tetapi tidak dengan Pas.

Dalam keadaan ini, PPBM akan mempunyai lebih peluang untuk menang di kerusi-kerusi campuran kerana mendapat sokongan yang penuh daripada DAP.

Peluang itu lebih terbuka jika yang berlaku hanya pertandingan satu lawan satu dengan BN. 

Tetapi kemungkinan lebih besar berlaku ialah pertandingan tiga penjuru kerana Pas tetap akan meletakkan calon atas nama blok ketiga sebagai sebahagian misi dakwah kepada bukan Islam. Bertanding sebagai blok ketiga inilah Pas berpegang kepada prinsip perjuangan kononnya.

Dalam konteks bertanding tiga penjuru antara PPBM, UMNO dan Pas di kawasan campuran, ia akan memberi kelebihan kepada PPBM untuk memenanginya.

Bagaimanapun, pertandingan tiga penjuru di kawasan majoriti Melayu akan memberi kesukaran kepada PPBM mahu pun Pas, sebaliknya kelebihan memihak kepada UMNO dan BN.

Di kerusi yang Amanah bertanding pula, disebabkan dendam kesumat yang terbuku dalam dada, meskipun Islam lebih menggalakkan menjadi pemaaf, Pas sudah barang tentu akan meletakkan calonnya bertanding juga.

Akhirnya, senang-lenang UMNO menang.

Kesimpulan mudahnya, berdasarkan telatah Pas dalam soal kerjasama ini mereka bukan sangat mahu menang pilihanraya atau ingin menjadi sebahagian kerajaan baru selepas PRU 14 nanti. 

Dalam hal ini, Pas sedar bahawa PPBM, khususnya melalui pengaruh Tun Mahathir Mohamad adalah ancaman terbasar yang mampu menggugat UMNO
dan kecenderungan memberi syarat-syarat yang berupa kata dua ialah untuk memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.

Jika Pas benar-benar ikhlas ingin menumbangkan UMNO dan BN, mereka harus bersikap terbuka untuk saling bekerjasama dengan parti-parti yang mempunyai matlamat yang sama. Njaib, UMNO dan BN adalah punca segala masalah dalam negara.

Dengan meletakkan syarat-syarat sukar, hakikatnya terselindung niat untuk memenangkan atau memberi kelebihan kepada UMNO dan BN, cuma barangkali Pas masih kesipuan untuk berterus-terang.


Tiada ulasan: