Isnin, 5 Disember 2016

KALAU UMNO KALAH, TIADA APA2 YANG BERUBAH, KECUALI NAJIB YANG GELABAH

shahbudindotcom


Momokan Najib Razak tentang DAP akan menguasai kerajaan semakin disedari bahawa ia semata-mata untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu agar terus mengekalkan kuasa UMNO yang selanjutnya memastikan beliau kekal lagi sebagai Perdana Menteri.

Hakikatnya, Najib sedar penolakan rakyat semakin membuak-buak dan mereka hanya menunggu masa saja untuk merealisasikannya di peti-peti undi.

Untuk itu, beliau terpaksa bermain dengan sentimen perkauman yang melampau dengan harapan pengundi Melayu akan takut tentang ancaman kepada masa depan mereka.

Bagi yang celik hati dan akalnya, mereka dengan mudah menolak momokan Najib itu kerana DAP hanya bertanding 51 kerusi Parlimen saja dan lawan mereka dalam pilihanraya pula adalah MCA, MIC atau Gerakan yang juga merupakan parti bukan Melayu.
 
 
 
 
Selain di mana logiknya 51 kerusi mampu menguasai 222 kerusi, tentulah lebih tidak masuk akal jika orang Melayu harus berasa bimbang tentang siapa kalah atau menang di kerusi-kerusi tersebut.

DAP tidak bertanding di kawasan Melayu seperti Pekan, Bagan Datoh, Pagoh dan sebagainya. Di kerusi-kerusi Melayu di mana UMNO bertanding, lawannya tetap Melayu juga sama ada daripada PPBM, PKR, Amanah atau Pas.

Jadi, tiada jalan untuk DAP mengambil hak orang-orang Melayu. Di mana calon Melayu UMNO yang kalah, pemenangnya tetap Melayu juga.

Maka, sesuai dengan kedudukan Melayu sebagai bangsa majoriti, bukan saja Melayu akan terus menguasai kerajaan jika UMNO dan BN dapat dikalahkan, malah calon Perdana Menteri juga tetap Melayu.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin telah mendapatkan perakuan hasil pertemuannya dengan DAP bahawa parti itu bersetuju calon Perdana Menteri Pakatan Harapan kiranya memenangi pilihnaraya adalah Melayu dan bukan daripada DAP.

Justeru, tambah Muhyiddin, tiada sebab untuk orang Melayu berasa bimbang atau terancam jika UMNO kalah dalam pilihanraya akan datang.

Lim Guan Eng turut mengesahkan bahawa DAP tidak pernah meminta seorang Cina untuk menjadi Perdana Menteri dan tidak juga berhasrat untuk menguasai kerajaan.

Kami tidak akan menguasai kerajaan jika BN dapat dikalahkan, tetapi akan menjadi rakan kongsi yang adil dan bertanggungjawab, jelas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pendirian DAP itu tentunya atas kesedaran sebenar tentang negara ini dan komposisi kaum yang meletakkan Melayu sebagai majoriti.

Yang tersingkir jika UMNO kalah hanyalah Najib dan barisan kabinetnya saja. Yang lain-lain semuanya akan kekal seperti biasa.

Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang-orang Melayu akan kekal sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan.
 
 
 
 
Kedudukan Raja-Raja Melayu juga kekal di takhta yang sama dengan penggiliran Yang Dipertuan Agong setiap lima tahun tidak berubah seperti sedia ada.

Masjid Negara, Masjid Putrajaya dan seluruh masjid di negeri-negeri akan turut kekal dengan laungan azan sebagaimana biasa.

Jawatan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri dan lain-lain jawatan utama, semuanya akan kekal sama.

Malah, jika mahu dihitung satu persatu, semua yang ada sekarang bukan saja akan terus ada, ia mungkin juga ditambah baik lagi oleh kerajaan baru nanti.

Sekali lagi, yang ingin ditukar dan dibuang setelah UMNO dikalahkan hanyalah Najib sebagai Perdana Menteri yang sebab-sebabnya sudah pun difahami oleh kita semua serta barisan kabinet yang majoritinya jelas tidak berguna, jauh sekali untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Yang mahu diganti ialah Perdana Menteri yang tidak baik kepada Perdana Menteri Melayu lain yang lebih baik. Tidak mungkin penggantinya nanti begitu mudah mahu melakukan sesuatu yang tidak baik dan melampau kerana sedar kuasa rakyat lebih mudah menurunkannya selepas itu.

Maka, orang Melayu jangan takut apa-apa dengan kalahnya UMNO dalam pilihanraya, bahkan seharusnya menjadi lebih gembira.

Biarkan saja Najib dengan gelabahnya, lagi pun dalam akaun banknya sudah ada wang ribu-ribu juta banyaknya.


Tiada ulasan: