Sabtu, 3 Disember 2016

'Jangan lagakan saya dengan Hishamuddin'

Ahmad Zahid Hamidi  dan Hishamuddin Tun Hussein
Ahmad Zahid Hamidi dan Hishamuddin Tun Hussein


KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pihak yang cuba melaga-lagakan beliau dengan seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein agar melupakan niat itu.

Beliau yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, kedua-dua mereka telah menyatakan kesetiaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya dan Hishamuddin dua beradik, dulu tiga kini tinggal dua. Jangan laga-lagakan kami dua beradik ini,  cukuplah kami sokong Perdana Menteri.

"Yang ada niat (laga-lagakan), padamkanlah niat itu.  Kita hanya ada seorang ketua iaitu presiden kita," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2016, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai konsep wala', Ahmad Zahid berkata, ia perlu diperluaskan ke akar umbi setelah perhimpunan tahunan itu berakhir.

"Wala' ertinya setia, cinta dan lawannya marah, benci. Kita sebagai perwakilan bukan sekadar dalam dewan ini, tetapi di luar dewan, di kampung-kampung.

"Wala' kita tidak berbelah bahagi, wala' kita ikhlas. Pemimpin kita seorang saja (Najib) dan wala' saya kepada beliau tidak berbelah bahagi," katanya.

Ahmad Zahid turut mengajak semua perwakilan di Dewan Merdeka bangun bagi menyatakan sokongan kepada Najib.

Dalam pada itu, beliau memuji sikap semua perwakilan yang berhemah dalam menyampaikan kritikan dan pandangan.

"Saya perhati perwakilan ketiga-tiga sayap dan negeri, kian bijak menegur. Makin matang mengkritik dengan penuh kesopanan serta berhemah dalam melontarkan pandangan.

"Yang di bawah tugasnya meminta dan yang diatas jangan tutup mata atau buat-buat lupa. Kita di atas sebab sokongan mereka.

"Sementara jawatan masih ada, berilah apa yang terdaya. Tambahan lagi sudah dekat pilihan raya," katanya.


Tiada ulasan: