Selasa, 16 Ogos 2016

Uber dibenarkan, tapi ada insentif untuk teksi

Alyaa Alazhar


Susulan perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi seperti Uber dan Grab Car akan dibenarkan, kerajaan mungkin memberikan insentif kepada pemandu teksi.

Ini antaranya bagi membantu pemandu yang mahu keluar daripada sistem pajak.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata pemandu teksi yang layak akan diberikan lesen individu bawah kategori teksi bermeter dan kereta sewa.

Pihak yang mahu keluar daripada sistem pihak akan menerima sejumlah RM5,000 daripada kerajaan untuk membeli kenderaan baru.

Pemohon bagaimanapun mesti bebas daripada rekod jenayah dan tidak muflis.

Dengan pendaftaran akan bermula pada 1 September depan, Spad juga merancang memperketat proses tapisan terhadap kedua-dua pihak, pemandu teksi dan pemandu Uber serta Grab Car.

Ini termasuk pemeriksaan perubatan, rekod jenayah, kesalahan trafik dan pelanggaran syarat lesen Spad.
Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Azharuddin Mat Sah berkata pemandu teksi biasanya terperangkap dalam sistem pajak dan terpaksa membayar bayaran bulanan untuk kenderaan mereka.

“Selepas terma tamat, mereka boleh jual kereta tetapi mereka tiada lesen.

“Dalam isu ini, mereka layak mendapat lesen individu,” katanya.

Minggu lalu dilaporkan keperluan Spad untuk mengawal konsep teksi elektronik menjelang akhir tahun ini bakal membuka jalan kepada pengesahan perkhidmatan Uber dan Grab di sisi undang-undang, seperti diputuskan kabinet.

Media melaporkan, kabinet percaya langkah itu penting untuk manfaat rakyat dan pindaan undang-undang dijangka dibentangkan pada sidang parlimen November ini.

Spad dalam Program Transformasi Industri Teksi yang dikemukakan baru-baru ini antara lain menjelaskan keperluan membenarkan Uber dan GrabCar serta menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

Rata-rata persatuan pemandu teksi tidak berpuas hati dengan 'penambahbaikan' yang dicadangkan SPAD kerana dianggap cuba 'membunuh' industri teksi negara.

Ini termasuk dalam pertemuan terbaru dengan Spad hari ini.

Tiada ulasan: