Rabu, 10 Ogos 2016

Thanggeswary, wanita pertama dilantik Speaker DUN Perak

 
Pencalonan Thangeswary dibuat Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong Datuk Dr Mah Hang Soon (BN-Chenderiang).


S. Thangeswary


IPOH: Bekas Ketua Wanita MIC Perak, S. Thangeswary hari ini dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baharu bagi menggantikan Datuk Seri S.K Devamany yang meletak jawatan.

Pemilihannya sebagai wanita pertama menjadi Speaker DUN Perak dibuat setelah memperoleh 30 undi berbanding calon pembangkang yang juga Anggota Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar yang mendapat 24 undi, manakala empat lagi berkecuali dalam pengundian yang dijalankan hari ini.

Terdahulu, pencalonan Thangeswary dibuat Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) dan disokong Datuk Dr Mah Hang Soon (BN-Chenderiang) sebelum bermulanya Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, persidangan DUN Perak Ke-13 di sini.

Sementara itu, pencalonan Sivakumar dibuat Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Amanah-Changkat Jering) dan disokong Chang Lih Kang (PKR Teja).

Proses pemilihan sebelum itu tertangguh hampir 30 minit selepas DAP dan PKR mempertikaikan penyerahan nama calon kerajaan negeri bagi jawatan tersebut yang didakwa lewat.

Setiausaha DUN Perak Shahrul Azam Shaari menjelaskan pihaknya menerima borang pencalonan daripada pembangkang pada 26 Julai pukul 2.30 petang, manakala BN menyerahkannya pada pukul 3 petang 1 Ogos lalu iaitu tarikh akhir penyerahan borang.

“Untuk maklumkan, tiada peruntukan dalam perintah tetap kerajaan atau pembangkang atau bahagian dewan untuk mengumumkan sebarang pencalonan,” katanya.

Kerusi Speaker DUN Perak kosong selepas Devamany meletak jawatan susulan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet 27 Jun lepas.

Tiada ulasan: