Selasa, 23 Ogos 2016

Parti Pribumi perlu bersaing sesama pembangkang tarik pengundi - Tun Faisal

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi diramal bakal berdepan kesukaran untuk menarik sokongan pengundi Melayu, kata bekas Exco Pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz.
 
Ujarnya, kesukaran ini bersandarkan kepada pengundi yang anti Umno-Barisan Nasional (BN) mempunyai pilihan parti Melayu lain antaranya PAS, PKR mahupun Amanah.
 
"Tidak guna dia (Parti Pribumi) menawarkan diri untuk undi Melayu sedangkan kalau orang yang tidak sokong Umno BN, PAS dan PAN (Amanah) boleh ambil undi itu tanpa perlu ada Pribumi (Parti Pribumi).
 
"Kenapa perlu mereka (pengundi) undi Pribumi sedangkan mereka boleh lakukan itu dengan mengundi PAS mahupun PAN (Amanah) ataupun PKR. 
 
"Ada atau tidak Pribumi ini sebenarnya bagi orang yang tidak suka kepada Umno BN, dia boleh lakukan perkara itu tanpa wujudnya Pribumi," katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Terdahulu, Parti Pribumi pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu mengintai beberapa kerusi milik PAS dan PKR bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
 
Malah parti serpihan Umno itu juga telah memperincikan maklumat kawasan yang mereka mahu tandingi di kerusi PKR dan PAS.
 
Parti mana mahu serah kerusi? 
 
Tambah Tun Faisal, adalah mustahil untuk Parti Pribumi bertanding di kerusi majoritinya Cina kerana asas parti itu hanya memberi fokus kepada golongan Melayu/Bumiputera sahaja.
 
"Tentunya kalau Pribumi dia tidak boleh bertanding di kawasan DAP kawasan majoriti Cina, tiada cara untuk dia (Parti Pribumi) duduk di situ (kawasan Cina)," katanya.
 
Beliau juga kurang yakin untuk PAS tunduk kepada kemahuan Parti Pribumi mahupun Amanah dalam memberikan kerusi mereka yang boleh mengurangkan kerusi mutlak parti itu.
 
"Kalau kata PAS bagi kerusi mereka, maka ia akan mengurangkan peluang untuk dia (PAS) merampas kawasan Umno BN yang ada sekarang ini.
 
"Ada kemungkinan kerusi PAS yang akan Parti Pribumi ambil sama seperti PAN (Amanah). Sekarang dia (Amanah) bersaing dengan PAS. Takkan dia (Amanah) nak bertanding di kawasan DAP. Takkan dia (Amanah) nak berlaga dengan PKR. Mahu atau tidak dia kena ambil kawasan yang ada pada PAS," katanya.
 
Justeru katanya, Parti Pribumi perlu memastikan rundingan bersama pembangkang mengenai pembahagian kerusi dapat dilakukan demi pertembungan satu lawan satu bersama BN.
 
Selain itu tambah Tun Faisal, Parti Pribumi perlu sedar dan mengambil kira kewujudan parti baru seperti Amanah dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
 
"Tapi kalau bila melihatkan dalam Pakatan Harapan (PH), dia (Parti Pribumi) memang terpaksa ambil salah satu  daripada kerusi tiga parti itu samada kerusi PKR, PAN (Amanah) mahupun kerusi PAS. Ini mungkin mereka (Parti Pribumi) tidak sedar. 
 
"Sekarang bila sudah ditubuhkan parti, bila nampak kena bertanding di pilihan raya dan nampak bahawa dia (Parti Pribumi) terpaksa minta belas ehsan ataupun terpaksa berbincang dengan parti pembangkang yang pegang kerusi pada pilihan raya secara tradisi," kata Tun Faisal lagi.
 
Muhyiddin sebelum ini berkata prinsip pembahagian kerusi antara parti pembangkang haruslah bersandarkan kepada parti yang mempunyai peluang kemenangan besar di sesebuah kawasan.
 
Ujar bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pembangkang perlu fokus kepada perjuangan menjatuhkan Umno BN dan sesiapa sahaja yang mempunyai kemampuan untuk menang perlu diberikan peluang.
 
 

Tiada ulasan: