Sabtu, 27 Ogos 2016

MB Selangor dolak dalih ulas SAMM dedah proksi Paya Indah Wetlands

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
PUCHONG: "Rakyat negeri Selangor adalah proksi saya", demikian jawapan sinis Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditanya adakah Ketua AMK Gombak, Zainol Abidin Mohamad adalah proksinya dalam kontroversi Paya Indah Wetlands seperti yang didakwa Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
 
Azmin yang kerap berdolak-dalih jika diajukan perihal isu ubah status lot tanah kawasan tadahan air hujan itu berkata, kerajaan negeri pimpinannya sedia disiasat sekiranya dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, benar.
 
"Saya sudah tegaskan beberapa kali bahawa pendirian kerajaan negeri pada hari ini bahawa kita bersikap terbuka dan telus. 
 
"Mana-mana pihak atau individu yang mempunyai dakwaan tidak payah menjerit setiap malam di media. Serah sahaja kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan," katanya di sidang media selepas merasmikan Projek Rumah Selangorku di Taman Putra Impiana, Puchong, pagi tadi.
 
Azmin berkata demikian mengulas tindakan Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard, melaporkan dakwaannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam, bahawa kepimpinan Azmin secara salah mengubah status lot tanah 68054 yang dikatakan milik Paya Indah Wetlands daripada pertanian kepada komersial.
 
Terdahulu, kerajaan negeri melalui Exconya, Elizebeth Wong menafikan dakwaan Chegubard dan menegaskan lot 68054 bukan sebahagian daripada Paya Indah Wetlands.
 
Sebaliknya, tanah paya yang diwartakan Jabatan Perhilitan sebagai Rizab Tanah Paya di bawah Kanun Tanah Negara sejak 1998 hanya melibatkan lot 4827 dan 3974, ujar Elizabeth.
 
Azmin dan Elizabeth kemudiannya mencabar Chegubard melaporkan perkara itu kepada SPRM.
 
Chegubard selepas selesai membuat laporan kepada badan siasatan kerajaan itu memberitahu pemberita, identiti Zainol sebagai proksi Azmin, dikesan daripada dokumen yang dihantar melalui aplikasi 'Whats App' kepada semua exco kerajaan negeri Selangor, sekaligus menggambarkan hubungan rapat lelaki itu dengan Azmin.
 
 

Tiada ulasan: