Rabu, 10 Ogos 2016

JPJ: Jangan main Pokemon Go ketika memandu

Pokemon GO


ARAU - Pengarah Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) Perlis, Muhammad Afifudin Mohd Zohdi menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu taksub dengan permainan Pokemon Go dengan bermain sambil memandu.

"Perbuatan memandu sambil bermain Pokemon Go adalah satu tindakan bahaya dan pihak JPJ akan mengeluarkan saman atas kesalahan terbabit.

"Di Perlis belum ada kes kemalangan berpunca daripada ketagihan permainan Pokemon Go dan kita berharap perkara sebegini tidak akan wujud," katanya dalam satu sidang media di sini.

Menurutnya, pihak JPJ akan sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi memastikan semua pengguna jalan raya di Perlis mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Tambah Muhammad Afifudin, mereka yang taksub dengan Pokemon Go ini perlu berhati-hati dan tidak membahayakan diri sendiri dalam bermain.

"Jangan kerana satu permainan yang tidak mendatangkan manfaat kita sanggup mengancam nyawa sendiri," ujarnya.


Tiada ulasan: