Selasa, 16 Ogos 2016

Elak bebankan pengguna, SPAD perlu kurangkan birokrasi terhadap pemandu teksi, Uber

rajiv 2

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diminta supaya tidak mengenakan prosedur birokrasi yang rumit terhadap teksi, Uber dan Grabcar bagi mewujudkan persaingan yang sihat antara pemandu perkhidmatan awam berkenaan.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Rajiv Rishyakaran menjelaskan, prosedur tersebut termasuklah keperluan untuk memiliki lesen memandu perkhidmatan awam, pemeriksaan kenderaan secara berkala dan insuran yang membebankan. Ia setakat ini hanya terpakai kepada pemandu teksi.

Katanya, prosedur membebankan yang dikuatkuasakan SPAD itu kini perlu dipersoalkan kerana terbukti bahawa pengguna pengangkutan awam lebih cenderung memilih perkhidmatan Grabcar dan Uber berbanding teksi.

“Tambahan ‘beban’ yang dikenakan ke atas teksi kini boleh dipersoalkan, di mana kebanyakan rakyat Malaysia merasakan bahawa perkhidmatan Uber dan Grabcar adalah lebih selesa dan lebih dipercayai daripada kebanyakan (bukan semua) teksi.

“Pemantauan pemandu dan penilaian sistem dalaman yang digunakan oleh Uber dan Grabcar jelas lebih baik berbanding dengan prosedur yang dikenakan oleh SPAD ke atas pemandu teksi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak beberapa bulan lalu, pemandu teksi telah mengadakan beberapa siri protes bagi menentang kewujudan perkhidmatan pengangkutan awam, Uber dan Grabcar yang didakwa telah menutup periuk nasi mereka.

Malah, pemandu teksi mendakwa pemandu Uber dan Grabcar tidak perlu melalui kesukaran untuk menepati sepenuhnya prosedur yang dikuatkuasakan SPAD itu.

Ekoran itu, SPAD seperti yang dilaporkan media, semalam, akan mengadakan sidang media hari ini bagi mengumumkan secara rasmi Program Transformasi Industri Teksi termasuk pelan untuk membenarkan perkhidmatan e-hailing seperti Grabcar dan Uber.

Mengulas lanjut, Rajiv yang juga Adun Bukit Gasing berkata, SPAD perlu berhati-hati dalam mengumumkan apa juga jenis perubahan terhadap sistem Uber dan Grabcar bagi mengelakkan pengguna merasa terbeban.

“SPAD juga perlu lebih berhati-hati dalam apa-apa perubahan yang memerlukan bayaran tambahan, kerana pada akhirnya, pengguna juga akan terpaksa membayar untuk itu dengan tambang yang lebih tinggi,” katanya.

Pengumuman yang dinanti-nantikan ramai pihak itu dilihat bakal menyelesaikan kemelut antara pemandu teksi dan pemandu Grabcar dan Uber yang telah berlanjutan sejak tahun lalu. – Roketkini.com


Tiada ulasan: