Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Berbaki beberapa hari lagi untuk sambutan hari Merdeka ke-59
negara, penganjur BERSIH 5 belum memuktamadkan tarikh untuk mereka
mengadakan himpunan berkenaan.
Menurut Pengerusi BERSIH 4.0 Maria Chin Abdullah, pihaknya juga masih belum menetapkan lokasi himpunan itu.
"Berikutan penganjuran Bersih 5, kami (pihak penganjur) masih belum
tetapkan tarikh dan tempat, masih dalam perbincangan," katanya ketika
dihubungi Antarapos.
BERSIH tahun lepas mengadakan himpunan jalanan di ibu negara selama 34
jam bermula 29 Ogos 2015 dan hanya berakhir selepas laungan Merdeka
berkumandang di Dataran Merdeka.
Sepanjang himpunan itu, peserta dihiburkan dengan nyanyian, pertunjukan
muzik serta ucapan ahli politik, sekaligus menimbulkan tanda tanya,
apakah matlamat utama himpunan itu diadakan.
Untuk rekod, penganjuran himpunan BERSIH yang pertama hingga kelima mempunyai matlamat yang berbeza.
Menurut penganjur, BERSIH 5 diadakan untuk mendesak kerajaan
menjelaskan isu saman sivil yang dibuat Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika
Syarikat melibatkan dana yang diambil daripada syarikat strategik
negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebaik sahaja BERSIH mengumumkan akan mengadakan himpunan, Pengerusi
Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Yunos pula berkata pihaknya juga akan
menggerakkan himpunan Gerakan Baju Merah untuk bagi melawan himpunan
BERSIH 5.
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang kemudiannya menawarkan khidmat
mencari stadium yang sesuai untuk BERSIH 5 dan Gerakan Baju Merah bagi
mengadakan perhimpunan berkenaan.
Tindakan kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu katanya bakal
menimbulkan kekecohan selain merisikokan keselamatan orang awam sekiraya
mengadakan himpunan jalanan di ibu kota.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan