Jumaat, 8 Julai 2016

‘Tak mungkin Clare akan diekstradisi ke Malaysia’

MALAYSIAKINI


Peguam di negara ini mempercayai kemungkinan kerajaan Malaysia mendapat perintah ekstradisi dari UK untuk membawa balik editor, Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang mendedahkan dokumen 1MDB yang diklasifikasikan sebagai rahsia adalah amat tipis.

"Kemungkinan besar kerajaan Malaysia tidak berjaya dalam sebarang percubaannya untuk mengekstradisi Rewcastle-Brown dari UK ke Malaysia untuk menghadapi tuduhan melanggar akta rahsia rasmi," kata peguam Andrew Khoo kepada Malaysiakini.

Pada Khamis, laman web Sarawak Report mendedahkan dokumen yang didakwanya sebahagian daripada laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Khoo, yang juga ahli Majlis Peguam Malaysia berkata, UK mempunyai pendekatan yang lebih "matang" terhadap media.

"Hakikatnya di UK dan negara demokrasi maju lain, mereka mempunyai rasa hormat yang lebih matang dan memahami peranan akhbar dan kewartawanan penyiasatan untuk mendedahkan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa di pihak kerajaan.

"Ini dilihat sebagai tunggak asas sebuah masyarakat yang terbuka dan demokratik," katanya.

Beliau berkata, tiada mahkamah di Britain akan melayan apa-apa permintaan ekstradisi daripada Malaysia, sambil menambah bahawa beliau tidak fikir jika ada Peguam Negara Malaysia yang "waras" akan membuat permohonan seumpama itu kepada mahkamah Inggeris.

Sementara itu, peguam Eric Paulsen berkata, satu-satunya pilihan realistik untuk kerajaan Malaysia adalah untuk mengambil tindakan sivil terhadap Sarawak Report di mahkamah British.

Khoo berkata, kerajaan juga boleh mendakwa Sarawak Report atau Rewcastle-Brown di Malaysia tanpa kehadirannya, walaupun prosiding itu berkemungkinan mempunyai "semua ciri sebuah mahkamah kangaroo".

Dengan keputusan bersalah, beliau berkata, mereka kemudian boleh cuba mendapatkan bantuan Interpol untuk menahan Rewcastle-Brown dengan memohon beliau diletakkan dalam senarai notis merah pada peringkat antarabangsa.



Tiada ulasan: