Sabtu, 2 Julai 2016

Saudi perkenal gelang elektronik untuk jemaah haji

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
RIYADH: Arab Saudi memperkenalkan pemakaian gelang elektronik kepada jemaah haji tahun ini sebagai langkah keselamatan bagi memantau pergerakan kumpulan itu.
 
Perkara tersebut susulan beberapa tragedi berdarah pada musim haji tahun lalu yang menyaksikan lebih 700 jemaah terbunuh akibat bersesak-sesak di Mina dan insiden kren tumbang di Masjidilharam.
 
Menurut Saudi Press Agency seperti lapor Al Jazeera, gelang elektronik itu dilengkapi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang boleh menentukan lokasi setiap jemaah.
 
Selain itu, gelang tersebut juga memuatkan maklumat peribadi dan kesihatan jemaah serta membantu kerajaan Arab Saudi mengenal pasti identiti seseorang.
 
Gelang elektronik yang kalis air itu juga dapat memberi maklumat kepada jemaah tentang waktu solat serta garis panduan menunaikan haji dalam pelbagai bahasa.
 
Setiap tahun, jutaan penganut Islam menunaikan haji di Mekah dan Madinah.
 
Tahun lalu, sebanyak 769 jemaah terkorban dalami insiden rempuhan di Mina, manakala 111 lagi maut dalam insiden kren tumbang di Masjidilharam.
 
Sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan Arab Saudi juga memasang hampir 1,000 unit kamera litar tertutup di sekitar Mas­jidilharam untuk memantau pergerakan jemaah.
 
 

Tiada ulasan: