Jumaat, 8 Julai 2016

Pertimbang mekanisme lulus lesen fasiliti air

OLEH ERMIZI MUHAMAD


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang mempertimbang pelan perancangan jangka panjang bagi memberi kelulusan membabitkan proses lesen perkhidmatan kepada pengurusan air negeri.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata perkara itu masih dibincangkan bagi mengenal pasti mekanisme terbaik demi manfaat rakyat Selangor.

ZAIDY DUN

“Cadangan dan pelan pelaburan baharu akan dilaksanakan selepas Air Selangor memperoleh lesen perkhidmatan dan fasiliti serta kelulusan Pelan Perniagaan.

“Buat masa ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masih berbincang mekanisme terbaik untuk memberi lesen perkhidmatan dan fasiliti kepada Air Selangor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada 2 Ogos lalu menandatangani perjanjian dasar induk berkenaan penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang di Selangor.

Ini bermakna, Kerajaan Negeri akan berkuasa penuh ke atas ketiga syarikat konsesi yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan bernilai RM9.65 bilion.

Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Konsortium Abbass Sdn Bhd (Abbas) bersetuju dengan tawaran itu, manakala Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) bakal diambil alih menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA).

Kerajaan Negeri juga sebelum ini berjaya menyelesaikan krisis air di Selangor menerusi pelan jangka panjang dan projek mitigasi yang dijangka mampu membekalkan air bersih mencukupi ke seluruh negeri.
-AA-


Tiada ulasan: