DETIK DAILY
Oleh Timmy Say
Empat
ke lima tahun lepas, saya diberi kesempatan melawat rumah Tok Guru Nik
Aziz di Pulau Melaka, di waktu subuh buat kali pertama. Seperti yang
diperkatakan ramai, akhirnya saya dapat melihat sendiri bahawa rumah
Tok Guru berada benar-benar di tepi masjid.
Rumah Tok Guru
tidak kelihatan sebagai sebuah rumah Menteri Besar, jauh sekali rumah
seorang berada mahupun kaya. Hanya ada satu perkataan yang sesuai
diungkapkan iaitu, "Ia kelihatan simple." Dalam simple itulah
menyinarnya keakjuban hidup Tok Guru. Saya cuma sempat berjumpa Tok
Guru di dalam masjid dan tidak sempat memasuki rumahnya.
Semalam, saya diberi peluang ke rumah Tok Guru Haji Hadi di Rusila.
Berbeza dengan lawatan ke Pulau Melaka, lawatan ini tidak dirancang sama
sekali. Ini kali pertama saya ke Rusila sebagaimana kali pertama saya
bersua dengan sahabat lama di Facebook, Tuan Wan Z, seorang peguam
terkenal di Terengganu.
Melihat rumah Ayah Chik, perkataan
"simple yang menakjubkan" yang terpintas di Pulau Melaka kembali di
minda. Rumah Ayah Chik juga benar-benar berada di tepi masjid.
Ketika menaiki tangganya yang usang lalu menjejakkan kaki buat pertama
kalinya di ruang tamu rumah Ayah Chik, dan terlihat kerusi-kerusi kusyen
yang sederhana buat tetamunya, satu soalan terus tercetus di minda,
boleh ke siapa-siapa dengan taraf yang ada seperti Ayah Chik boleh hidup
sedemikian?
Rata-rata manusia apabila tiba ke suatu tahap akan
mula mengejar kesenangan. Rumah akan mula diubahsuai dan dihiasi
dengan perabot yang sesuai dengan status dan egonya.
Tapi ini
tidak kelihatan pada rumah manusia yang bergelar Presiden PAS, Ahli
Parlimen dan Adun ini.
Ruang tamunya cukup simple. Tanpa ego, tanpa
status, cukup sederhana. Barangkali itulah yang paling menakjubkan pada
seseorang yang bertaraf status Tok Guru. Dalam ke-simple-annya,
terpancar cara hidupnya yang susah diikuti manusia biasa.
Ayah
Chik tidak sihat ketika kami berjumpa. Tekanan darahnya amat rendah,
katanya, menyebabkan beliau pening. Maklumlah, pagi tadi beliau baru
menyelesaikan urusan rumah terbuka beliau. Meskipun begitu, Ayah Chik
tetap melayan tetamunya yang kerdil ini.
Walaupun tidak sihat, namun minda Ayah Chik tetap tajam ketika menghuraikan masalah yang melanda di dunia.
Apa yang di sebalik persengketaan Sunni-Syiah dihuraikannya dengan
deskripsi yang cukup mendalam dan berbeza dengan apa yang difahami di
luar sana.
Siapakah di dunia Islam yang tidak membantu Palestin
dan Hamas? Siapakah di dunia Islam yang mementingkan ekonomi dan sains
dan teknologi sehingga memintas Amerika Syarikat? Siapakah yang
menculik saintis dan siapa yang menghargai saintis?
Siapa yang
melanggar nasihat Amerika dan membina senjata sendiri? Siapa pula yang
malas sekadar ingin membeli senjata yang dibekalkan Amerika? Siapakah
di dunia Islam yang betul-betul melawan Israel dan siapa yang tidak?
Bagaimana Amerika berperanan, melalui saraf dan demokrasinya, untuk
menghuru-harakan negara lain? Apakah kesilapan Ikhwan Muslimin? Mengapa
Turki mengambil pendekatan berbaik semula dengan Israel dan Russia?
Jawapan-jawapan kepada semua soalan di atas, bolehlah sahabat rujuk
kepada Tuan Wan Z dan saudara Naraza Muda, atau berjumpa dengan Ayah
Chik sendiri untuk mendengar sendiri daripada mulutnya. Yang pasti,
jawapan Ayah Chik akan mengejutkan minda-minda yang terpengaruh dengan
maklumat-maklumat di media sosial.
Mengenai tentangan terhadap
Islam, Ayah Chik menghurai mengapa sesetengah golongan terus menolak
walaupun mereka sudah tidak beralasan dan tidak berhujah dengan
memberikan contoh di Acheh.
Seorang bukan Islam diberi pilihan memilih
antara dua hukuman. 40 sebatan yang tidak melukakan kulit tapi dibuat di
khalayak ramai dan denda penjara 4 bulan atas satu kesalahan yang
sama. Akhirnya, bukan Islam itu memilih 40 sebatan di khalayak ramai.
"Mereka menolak sebab mereka tahu apabila orang kenal apa itu Islam,
mereka akan memilih Islam. Itu yang mereka takut sebenarnya," kata Ayah
Chik.
Mana-mana kerajaan yang zalim dan tidak melaksanakan
amanah mudah diambil kesempatan oleh puak pengganas untuk melakukan
huru-hara, kata Ayah Chik, seperti konflik Sunni-Syiah dan jarum saraf
yang melagakan rakyat antara satu sama lain.
Di dalam konteks Malaysia, Ayah Chik mengeluh ketika memikirkan mengenai masa depan Malaysia.
"Negara dikurniakan dengan sumber yang terlalu banyak. Namun, semuanya
habis dipulun. Ini pencuri berkuasa lawan pencuri tak berkuasa," kata
beliau.
"Perjuangan kita melawan dasar bukan melawan individu.
Ada yang hanya ingin menukar individu. Tapi kalau dasar tetap sama,
tiada apa yang akan berubah. Jika mahu perubahan dasar perlu berubah,"
tambah Ayah Chik sambil menegaskan PAS tidak akan sesekali bersama Umno
dan Barisan Nasional.
Teringat satu kata-kata Saidina Omar,
kalau akhlak kita sama dengan musuh maka kemenangan akan tertangguh.
Rasanya itulah yang Ayah Chik cuba nyatakan.
Mengenai keunikan
PAS, Ayah Chik berkata PAS mempunyai Majlis Syura yang dipandu oleh
al-Quran, Hadis, Qias dan Ijma'. Walaupun muktamar adalah kata pemutus
tertinggi, Ayah Chik berkata keputusannya tetap perlu berlandaskan
al-Quran, Hadis, Qias dan Ijma'.
Ayah Chik turut berbicara mengenai IS dan mengapa IS mudah menarik orang kepadanya. Berikut ialah jawapan Ayah Chik.
"Pengebom berani mati sengaja dipilih dari orang-orang yang bodoh dan tidak faham agama! Jihad apa lagu tu?" jawab Ayah Chik.
Setakat ini sahaja yang mampu tercatat oleh saya. Terlalu banyak yang
dikongsikan oleh Ayah Chik dalam perbualan 2 jam tersebut. Lautan ilmu
Ayah Chik terlalu luas untuk ditulis di dalam satu artikel. Malah kami
yang mendengarnya lemas di dalamnya.
Ini sememangnya Hari Raya
pertama yang cukup istimewa bagi saya. Terima kasih Tuan Wan Zainuddin
Dsun Rjer serta Naraza Muda atas pengalaman yang berharga ini.---Timmy Say-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan