Selasa, 5 Julai 2016

PAS perlu berhati-hati dekati Umno BN

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jika PAS tidak berhati-hati dalam usaha mendekati Umno-BN parti itu boleh kehilangan sokongan penyokongnya di kemudian hari, demikian kata Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
 
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata langkah PAS berbaik-baik dengan Umno-BN mungkin akan memberikan kesan yang tidak diduga kepada parti itu.
 
"PAS kena berhati-hati supaya masyarakat tidak akan pandang ini mahu kerjasama atau ada agenda lain. Jadi pandangan orang bahawa PAS cenderung kepada Umno-BN tidak dapat dielakkan kerana ada kenyataan-kenyataan begitu," katanya.
 
Bercakap kepada Antarapos, Mohd Azmi atau dikenali dengan panggilan Cikgu Azmi berkata, kepimpinan PAS terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang seharusnya bijak membuat percaturan demi survival parti seperti 'menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'.
 
Jelasnya segala kenyataan yang dibawa Hadi sebelum ini mencerminkan bahawa parti itu mahu kembali kepada Umno-BN setelah bertindak meninggalkan Pakatan Rakyat tahun lalu.
 
"Percaturan politik ini barangkali orang politik lebih tahu macam mana, apabila buat kenyataan begini kesannya bagaimana. Saya kira mereka (PAS) kena bijak untuk tidak sampai mengelirukan dan menjadikan masyarakat bebal dengan politik. Masyarakat letih dengan kenyataan begini," katanya lagi.
 
Sebelum ini Hadi berkata PAS kini menggunapakai pendekatan budaya politik matang dan sejahtera dalam memperjuangkan politik Islam.
 
Hadi juga pernah sepentas dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia tahun lalu dengan pakaian sedondon yang dilihat sebagai bibit-bibit permulaan kepada kerjasama antara PAS dan Umno-BN.
 
Kemesraan ini boleh dilihat dari dua sisi, saya kira pembangkang lain boleh buat begitu. Sejak dulu tidaklah sampai mereka tidak mahu hadir. Yang lebih penting dari segi kenyataan yang menyebabkan masyarakat tafsir, dengan PAS menjadi penasihat, tidak lagi mahu menyerang (Umno BN). 
 
"Kenyataan ini yang menyebabkan PAS sudah lembut dan mirip (mesra) kepada Umno-BN, kenyataan itu harus ditunjukkan dengan lebih konsisten," dakwa Cikgu Azmi.
 
 

Tiada ulasan: