Khamis, 7 Julai 2016

PAS, Ikatan bakal wujudkan sekretariat bersama - Kadir

Oleh Azizul Osman
Post Pic
SHAH ALAM: Gabungan blok politik ketiga, PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), bercadang menubuhkan sebuah sekretariat bersama tidak lama lagi.
Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzil berkata, penubuhan itu tertangguh berikutan PAS sibuk dengan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 7 Mei lalu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun lalu.
Katanya, sekretariat bersama itu akan menggerakkan beberapa isu berkaitan kerajaan demi kebaikan rakyat negara ini.
Kita tidak ada kegiatan sebab pimpinan PAS dan Ikatan sibuk dengan PRN Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, jadi kita terpaksa tunggu sehingga selesai PRK ini barulah kita boleh tubuh sekretariat bersama PAS-Ikatan.
"Sekretariat akan mula bergerak dengan pelbagai rancangan untuk bekerjasama dengan kerajaan mengenai masalah yang begitu mendesak yang dihadapi oleh rakyat. Waktu muktamarpun ialah ikut program biasa PAS iaitu soal dalaman parti sahaja, memang kita tidak bincang dengan kerjasama, sekretariat pun belum tubuh lagi. 
"Sebabnya inilah kita kena tunggu selepas PRK baru kita tubuhkan sekretariat lepas itu baru kita akan giat dengan cergas," katanya kepada Antarapos.
Ditanya mengenai langkah 'mesra' Umno-BN yang kini ditunjukkan PAS, Abdul Kadir berkata Ikatan sememangnya menerima pendekatan politik matang dan sejahtera yang kini dicanang oleh PAS.
PAS telah pun bertukar strategi sikit sebagaimana yang dinyatakan Presiden PAS yang dipersetujui oleh Dewan Tertinggi PAS, iaitu strategi politik matang dan sejahtera bermakna dia (PAS) tidak mahu hentam kerajaan gila-gila segalanya salah, betul pun salah. 
"(PAS) tidak mahu begitu lagi dah. Dia tukar cara dan strategi dia untuk berkhidmat untuk memajukan perjuangan dia, kalau benda yang baik kerajaan buat, dia tetap sokong dan menentang yang tidak baik," jawab bekas Menteri itu.
PAS membentuk blok politik ketiga bersama Ikatan pada 16 Mac lalu selepas ia tidak menyertai gabungan pembangkang baru, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri DAP, PKR serta serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah).
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, blok politik ketiga pembangkang itu tidak akan membangkang secara melulu dan ekstrem seperti yang diamalkan pakatan pembangkang sedia ada.
Kerjasama PAS-Ikatan memang sudah dijalin. Ada perjanjian yang ditandatangani oleh Presiden PAS dengan saya. Tapi belum dapat laksanakan sebab sibuk dengan PRN Sarawak dan kini dengan PRK, semua orang faham bahawa kita belum tubuh sekretariat. Saya ada di muktamar bersama dengan PAS," katanya.
PAS dalam pada itu mengajak PKR menyertai blok politik ketiga bersama parti Ikatan selepas timbul saranan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar PAS kembali bersama DAP dan parti itu.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, pihaknya melihat gabungan PAS, PKR dan parti-parti lain seperti Ikatan mampu membawa kesan besar termasuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang tanpa pembabitan bekas sekutunya, DAP.

Tiada ulasan: