Rabu, 6 Julai 2016

Nurul mahu polis jelaskan motif pembunuhan aktivis PKR

MALAYSIAKINI


Berikutan penangkapan suspek yang didakwa membunuh aktivis PKR Bill Kayong, naib presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar mahu pihak polis membongkar motif pembunuhan berkenaan.

"Kita ... mahu kepastian motif di sebalik pembunuhan Bill Kayong - yang bersama dengan (Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo), adalah sasaran berterusan ancaman dan ugutan bunuh itu.

"Adakah pembunuhannya dikaitkan dengan nasib tanah adat pribumi (atau) aktiviti pembalakan haram?

"Kita tidak boleh membenarkan sabitan membunuh menutup motif yang lebih besar terhadap perbuatan keji itu," katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun menyambut baik tindakan polis menyelesaikan kes itu, Nurul Izzah menggesa pendakwaan yang menyeluruh dan tertuduh dihukum dengan hukuman maksimum.

Kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati mandatori.
Kayong, 43 adalah calon PKR bagi kerusi DUN Bekenu semasa pilihan raya negeri Sarawak pada bulan Mei lalu, dan juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Teo.

Beliau amat dikenali dengan kerja-kerjanya sebagai seorang aktivis yang memperjuangkan hak tanah adat (NCR) kaum pribumi.

Bapa kepada dua anak itu ditembak mati di lampu isyarat Jalan Kuala Baram, Miri berhampiran sebuah pasar raya pada pagi 21 Jun.

Pada 30 Jun dan 1 Julai, pihak polis menahan enam orang termasuk seorang wanita yang berumur di antara 22 dan 41 untuk disoal siasat berhubung pembunuhan itu.

Semalam, menerusi satu tweet, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kes pembunuhan itu berjaya diselesaikan.

Tiada ulasan: