Selasa, 5 Julai 2016

Kes bunuh aktivis PKR selesai, kata IGP

MALAYSIAKINI


Kes pembunuhan aktivis PKR, Bill Kayong berjaya diselesaikan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam tweet hari ini, beliau memuji Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak berhubung kejayaan dalam menangkap suspek yang didakwa membunuh Kayong itu.

"Penembak ditangkap dan dan senjata pembunuhan dijumpai," katanya.

Motif pembunuhan dipercayai berkaitan dengan isu tanah adat (NCR). Polis Sarawak dijangka mendedahkan butirannya lebih lama lagi.

Kayong terkenal sebagai seorang aktivis yang memperjuangkan hak tanah adat kaum pribumi dan juga adalah calon PKR bagi kerusi Bekenu semasa pilihan raya negeri Sarawak, Mei lalu.

Beliau telah ditembak mati di lampu isyarat Jalan Kuala Baram, Miri berhampiran sebuah pasar raya pada pagi 21 Jun Senjata pembunuhan dilaporkan adalah sepucuk senapang patah.

Pada 30 Jun dan 1 Julai, pihak polis menahan enam orang yang berumur di antara 22 dan 41 untuk disoal siasat berhubung pembunuhan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor dalam satu kenyataan media berkata enam suspek, termasuk seorang wanita ditahan dalam kes berkenaan.

“Suspek telah menunjukkan tempat dia menyembunyikan senapang patah yang dipercayai telah digunakan untuk menembak Bill Anak Kayong.

“Senapang patah tersebut dan beberapa butir peluru senapang patah termasuk satu kelongsong yang telah digunakan telah dirampas dari tempat yang ditunjukkan oleh suspek.

“Dengan tangkapan ini dan rampasan senapang patah, kita yakin kes pembunuhan Bill Anak Kayong berjaya diselesaikan,” katanya.

Tiada ulasan: