Jumaat, 8 Julai 2016

Harga Lemang Naik RM2 Sebatang

Oleh: MUHAMMAD ADNAN
 
 
Peniaga lemang, Yusmawati yang dikenali sebagai Kak Yus memulakan perniagaan sejak 11 tahun
 
 
PETALING JAYA: Kebanyakkan peniaga lemang di ibu negara mendakwa terpaksa menaikkan harga menu wajib Hari Raya itu sebanyak RM2 sebatang pada tahun ini berikutan peningkatan kos bahan asasnya.

Tinjauan mStar Online mendapati, peniaga mendakwa perlu menaikkan harga lemang berikutan kenaikkan harga santan dan beras pulut sempena perayaan tahun ini.

Peniaga lemang di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Norhayati Mokhtar, 57, berkata dia tidak dapat mengekalkan harga lemang seperti tahun lalu kerana berdepan kerugian berikutan kenaikkan harga bahan asas.

"Tahun ni harga lemang yang saya jual terpaksa dinaikkan sedikit berbanding tahun sebelumnya kerana harga beras pulut meningkat dari RM100 seguni kepada RM120.

"Kalau tahun lepas saya jual lemang dalam RM16 tapi sekarang naikkan kepada RM18 satu," katanya yang menjalankan perniagaan lemang sejak 14 tahun lalu.

Seorang lagi peniaga lemang, Roslan Tadol, 39, mendakwa, harga lemang yang dijual mengikut saiz terpaksa dinaikkan.

"Harga memang berbeza dengan tahun lepas kerana kos barang asas naik terutamanya santan.

"Tahun lepas, harga santan segar baru RM5 sekilo, tapi sekarang dah naik sekali ganda sampai RM10," katanya.


Pembeli lemang dan rendang ayam di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) 

Tinjauan di Paya Jaras, Sungai Buloh pula mendapati kenaikkan harga lemang turut berlaku walaupun ia dijual lebih murah mengikut saiz.

Yusmawati Gadang, 50, memberitahu, kenaikkan harga lemang turut menjejaskan jualan berbanding tahun lalu.

"Bila harga naik, permintaan menurun. Mungkin orang ramai memilih makanan lain kerana sekarang banyak pilihan.

"Tetapi apa yang menarik ialah ramai rakan-rakan Cina dan India yang turut tidak melepaskan peluang untuk menjamah lemang dengan serunding, inilah yang dikatakan Malaysia.

"Ramai pelanggan Cina dan India membeli lemang kali ini, ada yang mahu membawa ke rumah rakan-rakan dan ramai juga yang ingin makan bersama keluarga," jelasnya.

Tiada ulasan: