Khamis, 17 September 2015

Wartawan kecam gangguan semasa himpunan 'Baju Merah'

MALAYSIAKINI


 


Perikatan longgar wartawan dan pengamal media Gerakan Media Marah (GERAMM) mengecam insiden gangguan terhadap petugas media yang membuat liputan Himpunan Rakyat Bersatu semalam.

Dalam kenyataan kumpulan itu petang ini, sekurang-kurangnya lima petugas media dihina dengan kata-kata berbaur perkauman serta diganggu oleh peserta himpunan 'baju merah' itu.

GERAMM berkata seorang wartawan dan jurukamera dari saluran berbahasa Cina Astro AEC diejek oleh sekumpulan peserta apabia mereka bertanya kepada seorang peserta himpunan untuk menjelaskan, "Apa contoh Melayu dihina?".

"Mereka kemudiannya diiringi oleh pihak polis agar menjauh dari tempat kejadian," kata GERAMM.

Kumpulan itu juga berkata dua wartawan wanita The Star turut diganggu dan digelar "keling bangsat" dan "bangsat Cina" semasa membuat liputan pertembungan antara peserta perhimpunan dan polis di Jalan Petaling.

"Seorang wartawan wanita dari Malaysiakini telah digelar "Cina gila babi" setelah dia cuba bertanyakan soalan kepada peserta perhimpunan yang berkumpul di Petaling Street

"Peserta perhimpunan juga dilaporkan telah mengugut petugas media semasa pertembungan dengan pihak polis, menggunakan kata-kata kesat, ungkapan seksis, ugutan serta hinaan berbaur perkauman," kata kumpulan itu.

GERAMM juga berkata terdapat juga laporan yang tidak disahkan bahawa seorang jurugambar berbangsa Cina telah ditendang oleh peserta perhimpunan.

"GERAMM ingin menegaskan bahawa serangan terhadap media adalah satu bentuk tindakan yang tidak dapat diterima, terutama dalam kes-kes seumpama ini di mana serangan adalah semata-mata berdasarkan kaum, agama atau jantina seseorang," katanya.

Kumpulan itu juga menegas petugas media sepatutnya dibenarkan menjalakan tugas dan tindakan menghalang tugas meraka seumpama menghalang tukang kasut dari membaiki kasut atau bomba dari memadamkan api.

GERAMM turut mengucapkan terima kasih kami kepada polis yang bertugas secara profesional sepanjang perhimpunan semalam, yang dianggarkan dihadiri sebanyak 50,000 orang.


Tiada ulasan: