KUALA LUMPUR, Tidak masuk akal, bukan suara majoriti Melayu dan jangan ada kekecohan.

Itu reaksi pandangan awam terhadap himpunan ‘Baju Merah’ di Padang Merbok yang berlangsung hari ini, bersamaan Hari Malaysia.

Himpunan yang dijangka pada sebelah petang juga dikatakan sebagai ‘respon’ kepada perhimpunan Bersih 4.0 pada hujung bulan lalu.

Tinjauan The Rakyat Post mendapati mereka sebulat suara membantah perhimpunan itu dijalankan kerana dikhuatiri akan mengundang ketegangan di antara kaum.
Kevin Yeow, 26, pekerja swasta
Kevin Yeow
Bagi penjawat awam, Kevin Yeow, 26, berkata perhimpunan itu tidak masuk akal kerana hanya akan menimbulkan isu perkauman dan berpecah-belah.

“Kenapa nak buat perhimpunan itu? Tujuan perhimpunan sendiri nampak perkauman dah tidak mewakili suara satu Malaysia.

“Saya tidak nampak majoriti perhimpunan Bersih 4 lalu adalah kaum Cina kerana kaum-kaum lain turut hadir dan membantu antara satu sama lain,” katanya.

Seorang peguam yang mahu dikenali sebagai Ally Ali, 30, berpendapat hak sebagai rakyat untuk berhimpun adalah tidak salah namun dakwaan perhimpunan itu adalah suara orang Melayu adalah salah sama sekali.

“Saya tidak kisah jika mereka mahu berhimpun kerana itu adalah hak mereka tetapi itu bukanlah suara sebenar kaum Melayu.

“Saya tidak nafikan majoriti yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 4 adalah kaum Cina tetapi tindak balas yang dilakukan oleh geng Baju Merah adalah tidak wajar,” jelasnya.

Pandangan itu turut mendapat sokongan Rajiviana Thambo, 26, yang merasakan perhimpunan tersebut tidak patut dilakukan kerana ianya lebih menampakan sifat kepuakan yang menebal.

“Perhimpunan itu buat kita lagi terasing dengan kaum-kaum lain padahal kita kan satu Malaysia.

“Tidak kiralah Melayu, Cina atau India perjuangan yang ditegakan haruslah menunjukan kita sebagai satu negara bukan satu kaum,” katanya.

Namun berbeza bagi seorang pemandu teksi, Zainuddin Othman, 55, yang berpendapat perhimpunan itu perlu bagi mempertahankan perlembagaan serta hak kaum bumiputera.
Zainuddin Othman, 55, pemandu teksi
Zainuddin Othman
“Saya rasa perhimpunan ini perlu dilakukan bagi menunjukan rasa hormat kepada perlembagaan dan hak istimewa kaum Melayu di negara kita.

“Ini bukan soal perkauman tetapi mereka perlu sedar bahawa hak Melayu tidak boleh dirampas sewenang-wenangnya,” katanya.

Sokongan turut diluahkan oleh seorang lepasan mahasiswa, Nurul Afiqah Halim, 21, yang merasakan perhimpunan itu tidak menyalahi undang-undang kerana dibuat secara aman sama seperti perhimpunan Bersih 4.
Nurul Afiqah Halim, 21, Lepasan Mahasiswa
Nurul Afiqah Halim
“Jika perhimpunan Bersih 4 boleh berlaku kenapa tidak perhimpunan Baju Merah. Mereka juga ada hak untuk menyuarakan pendapat mereka.

“Mereka juga menuntut sesuatu dari kerajaan sama seperti Bersih 4 jadi tidak salah mereka berhimpun asalkan ianya berjalan tanpa sebarang kekecohan,” tegasnya.