Rabu, 2 September 2015

SPRM akan jadi badan bebas, kata menteri

SPRM
SPRM


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bakal benar-benar menjadi badan bebas tanpa sebarang pertalian dengan cawangan eksekutif seperti yang didesak oleh beberapa pihak sebelum ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, inisiatif itu diambil dalam rangka untuk memperkasakan institusi di negara ini bagi mencapai kejayaan dalam pelaksanaan integriti nasional.

“Untuk itu kita memerlukan institusi yang kukuh yang bebas dari cawangan eksekutif kerajaan, diberi perlindungan secukupnya daripada undang-undang dan mempunyai sumber yang cukup untuk menggaji kakitangan yang profesional dan berkaliber.

“Jika tidak, sistem yang memastikan pematuhan dan mendukung kedaulatan undang-undang akan hilang kredibilitinya dan rakyat akan tidak yakin kepada pentadbiran,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC), di sini, hari ini.

Menurutnya, ‘pembebasan’ SPRM itu bagi membenarkan suruhanjaya itu menaik taraf kualiti kakitangannya.

“SPRM akan diperkatakan dahulu dengan menjadikannya suruhanjaya perkhidmatan berasingan bagi membenarkan ia menambah baik dari segi kapasiti dan tahap profesionalisme stafnya dan mempunyai kawalan terhadap terma dan syarat perkhidmatan.

“Kemudian, pelantikan dan tempoh perkhidmatan ketua pesuruhjaya mesti lebih terjamin,” katanya.

Namun ketika ditemui media selepas itu, beliau mengesahkan kerajaan masih belum memutuskan tempoh pelaksanaan perancangan itu.

“(Bila akan dilaksanakan?) Itulah cabarannya,” katanya ringkas.

Sebelum ini beberapa parti politik telah menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan ini bagi memperkasa dan memelihara integriti SPRM sebagai sebuah badan bebas yang bertanggungjawab terhadap siasatan kes rasuah.

Sementara itu, dalam ucapan sama, beliau turut menyebut bahawa Jabatan Ketua Audit Negara juga akan menyertai SPRM sebagai badan yang benar-benar bebas.

“Jabatan Ketua Audit Negara juga akan buat laporan kepada jawatankuasa khas yang bi-partisan di Parlimen dan kuasa serta skopnya akan diluaskan,” katanya.


Tiada ulasan: