GEORGE TOWN, Polis mendapat petunjuk baru berhubung kes kehilangan Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Anthony Morais.


Kini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan untuk penculikan.

Menurut Khalid, petunjuk baru itu menunjukkan Morais telah diculik, bukannya hilang.

Beliau memberi jaminan polis akan berusaha sedaya upaya untuk menyiasat dari semua aspek dan tidak akan mengetepikan sebarang kemungkinan.

“Ada beberapa tuduhan mengatakan kes Hussain Ahmad Najadi (ada kaitan), tetapi apa yang boleh saya beritahu ialah salah seorang beradiknya merupakan saksi dalam pembunuhan Hussain,” katanya selepas menghadiri istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara, di Dewan Sri Pinang, hari ini.

Selasa lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, polis tidak menolak kemungkinan kes kehilangan Morais dan pembunuhan Pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian yang kini dikenali sebagai Ambank itu, ada kaitan.

“Kita masih belum dapat pastikan sama ada terdapat kaitan, tetapi kami pasti akan melihat sebarang kemungkinan dari semua sudut dalam penyiasatan.

“Apa sahaja yang kita lakukan, perlu berdasarkan fakta dan saya berharap orang ramai tidak mudah percaya kepada khabar angin, biarlah kami menyiasat kes ini dahulu,” katanya.

Morais kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di pangsapuri Menara Duta, untuk pergi ke tempat kerjanya di Putrajaya, pada pagi Jumaat lalu, dengan menaiki kereta Proton Perdana bernombor pendaftaran WA6264Q.

Penemuan sebuah kereta terbakar di Hutan Melintang, Perak, pada Sabtu lalu, turut menimbulkan kebimbangan saudara-mara dan rakan-rakan Morais.

Pada Julai 2013, Pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian, Hussain Ahmad ditembak mati, manakala isterinya cedera parah, apabila mereka keluar dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon.
 
Seorang lelaki bersenjata menembak Hussain Ahmad, 75, dan isterinya yang berusia 49 tahun, dari jarak dekat, menyebabkan lelaki itu mati di tempat kejadian.