KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi
memadamkan beberapa perenggan dalam afidavit sokongan yang difailkan
Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee dalam saman
berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan ke 2 Nov
ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh tersebut dalam kamar hari ini.
Peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Pua memberitahu pemberita
bahawa pada tarikh yang sama mahkamah juga akan mendengar permohonan Pua
untuk membatalkan saman tersebut.
Katanya, Hakim Vazeer turut menetapkan 1 Dis untuk mendengar permohonan
Najib bagi memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan
difailkan Chan Chee Kong, pemilik Mediarakyat.net portal.
Perdana Menteri, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu
pada 5 Mac lepas dan menamakan Pua, 42, dan Chan, 51, sebagai defendan
pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata pada 13 Nov tahun lepas,
Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, telah
mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.
Beliau berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri
dan/atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman web
Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.
Najib berkata rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan
berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya dan individu dikenali sebagai
'perdana menteri' dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya
(Najib).
Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa
maksud bahawa beliau telah merompak duit rakyat berkaitan urus niaga
1MDB dan oleh itu beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dan
tidak layak memegang jawatan awam.
Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah
merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara
meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan
laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.
Sehubungan itu, Najib menuntut ganti rugi am, teladan, kos dan perintah
injunksi bagi menahan defendan pertama dan kedua atau ejen-ejen mereka
daripada menerbitkan lagi perkataan-perkataan fitnah itu terhadapnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan