Khamis, 10 September 2015

PKR perlu jelaskan kepada penyokong hasrat mahu PAS sertai PR 2.0 - Guan Eng

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: DAP meminta Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan kepada penyokong pembangkang berhubung pendirian parti itu yang masih mahu meneruskan kerjasama bersama PAS, dalam Pakatan Rakyat 2.0 yang akan dibentuk kelak.
 
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun Azmin dan PKR mempunyai alasan tersendiri berbuat demikian, namun para penyokong mereka harus diberikan penjelasan apatah lagi dakwanya PAS yang bertindak memutuskan hubungan dengan DAP sebelum ini.
 
"Azmin mempunyai sebabnya sendiri, tetapi walau apa pun sebabnya, beliau perlu menjelaskan kepada penyokong mengapa membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS," kata Lim pada satu sidang media di pejabatnya di Pulau Pinang hari ini.
 
"DAP tidak akan bekerjasama dengan PAS kerana mereka sudah putuskan hubungan dengan DAP. Selepas itu, mereka juga berkata akan bertanding di kawasan yang dipegang DAP," katan Guan Eng yang dipetik sebuah portal.
 
Azmin sebelum ini menegaskan parti itu mahu PAS turut serta dalam pakatan pembangkang baru meskipun DAP tidak bersetuju. 
 
Azmin berkata sebagai parti bersifat inklusif, pihaknya menerima PAS sebagai sebuah parti yang mampu memperkukuhkan barisan pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum ke 14. 
 
Sementara itu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS dan DAP bagi membincangkan hasrat mereka yang mahu membawa masuk parti Islam itu di dalam pakatan pembangkang baharu bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
 
Azizah semalam juga terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan pimpinan parti serpihan PAS, iaitu Parti Amanah Negara bagi membincangkan hala tuju dan prinsip kedua-dua pihak.
 
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam masa yang sama menekankan perlunya pembangkang yang kuat dan bersatu padu untuk mencabar Barisan Nasional dalam isu-isu semasa dan dalam pilihan raya umum yang akan datang.  


Tiada ulasan: