Khamis, 10 September 2015

PKR gesa polis halang himpunan baju merah

PKR gesa polis halang himpunan baju merah
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi bunga kepada pekerja di gerai Oppo Plaza Low Yat sempena program walkabout.


KUALA LUMPUR - PKR menggesa Polis Diraja Malaysia ( PDRM ) segera bertindak bagi menghalang 'perhimpunan baju merah' diadakan pada 16 September ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata,  himpunan yang dianjurkan itu bermotifkan perkauman, dan  jika ia dibiarkan boleh membawa kejatuhan kepada nilai masyarakat dan kewarasan.

"Polis wajib bertindak untuk menghentikan sebarang tindakan provokasi perkauman seperti yang dipaparkan di poster-poster di Kuala Lumpur yang berkaitan perhimpunan itu," katanya kepada pemberita ketika turun di Plaza Low Yat dalam program 'Walkabout Muhibbah' hari ini.

Menurut Presiden PKR itu, pihak penganjur himpunan yang dinamakan Himpunan Rakyat Bersatu atau Himpunan Maruah Melayu itu sepatutnya menumpukan isu berkaitan masalah ekonomi dan politik negara bukannya bermotifkan perkauman.

Katanya,  perkara itu jelas apabila pihak penganjur memilih Bukit Bintang dan Jalan Petaling sebagai lokasi untuk berhimpun.

"Penganjuran perhimpunan aman dibenarkan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman 2012,  namun tujuan dan motif perhimpunan atas dasar perkauman tidak wajar dilakukan.

"Jika (diteruskan) boleh mengganggu gugat keharmonian kaum apatah lagi lokasi yang dipilih majoritinya dari kaun Cina," katanya.

Tambah beliau,  lebih malang lagi apabila ada pemimpin Umno yang menggesa ahlinya untuk turut serta dalam perhimpunan itu.

Ditanya apakah tindakan sekiranya ada ahli PKR menyertai perhimpunan itu.

Wan Azizah berkata, PKR sama sekali tidak membenarkan ahlinya menyertai perhimpunan itu

"Kita yakin tiada ahlinya yang akan turun menyertai perhimpunan itu," katanya.

Menurut Wan Azizah kehadiran beliau bersama pemimpin-pemimpin PKR memberi bunga kepada pekerja di Plaza Low Yat adalah bertujuan menghulur mesej keamanan kepada semua etnik untuk bersama-sama menyelamatkan negara.

Antara pemimpin PKR yang hadir, Ketua Wanita PKR,  Zuraida Kamarudin, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad,  Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.


Tiada ulasan: