Khamis, 10 September 2015

PAS akan bincang hasrat PKR mahu parti itu sertai PR 2.0 [TONTON VIDEO]

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS akan mengadakan perbincangan di peringkat parti terlebih dahulu berhubung hasrat PKR yang mahu membawa masuk parti itu di dalam pakatan pembangkang baharu bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
 
Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata, keputusan berhubung perkara itu hanya akan diputuskan melalui mesyuarat parti kerana ia membabitkan soal polisi. 
 
"Pertamanya, ini membabitkan polisi dan saya tak boleh beri komen (sendirian). Nanti kita akan putuskan di dalam mesyuarat dahulu, kita akan bincang," katanya kepada Antarapos.
 
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS dan DAP bagi membincangkan perkara berkenaan dalam jangka masa terdekat. 
 
Azizah semalam juga terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan pimpinan parti serpihan PAS, iaitu Parti Amanah Negara bagi membincangkan hala tuju dan prinsip kedua-dua pihak.
 
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam masa yang sama menekankan perlunya pembangkang yang kuat dan bersatu padu untuk mencabar Barisan Nasional dalam isu-isu semasa dan dalam pilihan raya umum yang akan datang.  
 
Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sebelum ini menegaskan parti itu mahu PAS turut serta dalam pakatan pembangkang baru meskipun DAP tidak bersetuju. 
 
Azmin berkata sebagai parti bersifat inklusif, pihaknya menerima PAS sebagai sebuah parti yang mampu memperkukuhkan barisan pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum ke 14. 
 
Dalam pada itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang ketika ditanya mengenai kesediaan Amanah untuk bersama PAS dalam gabungan pembangkang baharu, enggan mengulas lanjut.  
 
"Ini pun melibatkan polisi. Nanti dah rasmi (ada keputusan) kita akan beritahu," ujarnya ringkas.
 
Beberapa pemimpin Amanah yang dipetik sebuah portal berita dilaporkan menyatakan kesediaan untuk bersama PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 bagi tujuan menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Bagaimanapun, mereka akur sekiranya PAS lebih selesa bergerak sendirian, merujuk kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan parti Islam itu ada kekuatan sendiri dan tidak akan bergabung dengan Amanah.
 
 
 

Tiada ulasan: