Jumaat, 25 September 2015

Amanah mohon maaf, tapi PSM jangan keterlaluan

THE MALAYSIAN INSIDER



 Ahli Jawatankuasa Amanah Mohamed Hanipa Maidin berkata PSM yang menggunakan istilah tipu (lies) adalah kenyataan yang agak ‘strong’ dan berkata Amanah tidak berniat berbohong ketika menjelaskan sebab PSM tidak bersama Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 September, 2015. Ahli Jawatankuasa Amanah Mohamed Hanipa Maidin berkata PSM yang menggunakan istilah tipu (lies) adalah kenyataan yang agak ‘strong’ dan berkata Amanah tidak berniat berbohong ketika menjelaskan sebab PSM tidak bersama Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
Susulan daripada kenyataan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang “berang” dengan tindakan 2 pemimpin Pakatan Harapan, Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka. 
 
Ahli Jawatankuasa Amanah Mohamed Hanipa Maidin berkata, sehingga kini beliau sendiri tidak mengetahui punca sebenar PSM tidak menyertai Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.

"Saya boleh menghargai kekecewaan sahabat-sahabat daripada PSM yang terkilan dengan alasan yang dikatakan menjadi punca PSM tidak dijemput menyertai Pakatan Rakyat (PR) atau Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Sepang itu mempertahankan rakan seperjuangannya dan mengatakan PSM agak keterlaluan dalam membuat pertuduhan. 
 
Beliau berkata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Meng dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad tidak berniat berbohong ketika menjelaskan sebab PSM tidak bersama Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.

Bekas pemimpin PAS itu berkata, beliau percaya Ong dan Khalid hanya menyampaikan maklumat yang disampaikan kepada mereka.

"Saya percaya mereka berdua tidak mempunyai niat untuk memalukan PSM atau menipu atau apa niat buruk yang lain.

"Oleh itu apabila ada sahabat-sahabat PSM menggunakan istilah tipu atau bohong (lies)'kepada kedua-dua sahabat saya itu, bagi saya ,ia satu kenyataan yang agak ‘strong’ dan adalah lebih baik ia tidak dikeluarkan sebegitu," katanya.

Beliau berkata tuduhan sebegitu tidak harus dilemparkan terutama kepada Khalid, kerana selama ini ahli Parlimen Shah Alam itu selalu mempertahankan Pengerusi PSM Dr Mohd Nasir Hashim daripada pemimpin tertinggi PAS.

Hanipa berkata, tindakan Khalid yang seringkali mempertahankan Nasir menyebabkan ahli Parlimen Shah Alam itu turut menerima tempias.

"Khalid Samad sendiri antara individu yang banyak mempertahankan Nasir dalam isu Kota Damansara meskipun beliau terpaksa berhadapan dengan para pemimpin PAS termasuk pemimpin tertinggi yang cuba bersungguh mengetepikan Nasir dengan pelbagai tuduhan tuduhan yang berbentuk ‘hearsay’ dan tidak dibuktikan.

"Khalid boleh dikatakan konsisten mempertahankan Nasir meskipun menjadi mangsa tomahan tomahan negatif daripada bekas parti beliau," katanya.

Hanipa berharap salah faham yang berlaku antara pemimpin PSM dan Pakatan Harapan dapat diselesaikan secara baik.

Semalam PSM dilaporkan berang dengan tindakan 2 ahli Parlimen Pakatan Harapan yang didakwa berbohong berkenaan alasan parti itu tidak dijemput menyertai gabungan baharu pembangkang.

Bekas setiausaha agung PSM, S Arutchelvan berkata Khalid dan Ong dalam laporan Malaysiakini mendakwa partinya kekal tidak dijemput sejak pembentukan Pakatan Rakyat lagi kerana mereka tidak bersetuju dengan Perkara 153 yang diangkat dalam Dasar Bersama dahulu.

Menurut Arutchelvan, perkara itu tidak benar sama sekali malahan PSM dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 secara terang-terangan mengangkat manifesto Pakatan Rakyat dan Buku Jingga PKR.


Tiada ulasan: