Sabtu, 15 Mac 2014

MH370: PAS gesa PM bawa usul khas, bahas di parlimen

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Dengan perkembangan terbaru isu MH370 hari ini, PAS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan satu usul khas ke Dewan Rakyat Isnin ini.

Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, usul tersebut sangat penting untuk dibahaskan dalam mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku.

"Kenyataan PM (dalam sidang media) tadi seperti ada sesuatu yang begitu tersembunyi. Beliau sebut tadi data baru dari servis provider iaitu pengeluar enjin Rolls Royce.

"Persoalannya, kenapa begitu lambat data itu diperoleh sedangkan kita boleh panggil wakil Rolls Royce lebih awal," katanya sambil menambah sudah seminggu baru data diperoleh.

Beliau menegaskan usul yang perlu dibawa oleh Najib mestilah bersifat boleh dibahas, dan bukan hanya penjelasan menteri yang tidak boleh dibahas.

Minggu lalu, Speaker Dewan Rakyat menolak usul membincangkan kehilangan Pesawat MAS MH370, yang dikemukakan Mahfuz.

Dalam usul tersebut, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menggariskan tiga asas mengapa penting untuk usul tersebut diterima dan dibahaskan oleh Dewan Rakyat.

Katanya, adalah penting bagi parlimen sebagai mewakili seluruh rakyat Malaysia, menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas apa yang berlaku sekaligus menyatakan kebersamaan kepada keluaga yang terlibat.

"Alasan juga bahawa ianya sedang disiasat, dan perbahasan di Dewan Rakyat boleh membantu siasatan.

"Ini kerana kita lihat kenyataan-kenyataan dikeluarkan tunjuk siasatan bercelaru dan kenyataan-kenyataan bercanggah," kata beliau sambil merujuk isu penumpang yang mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat MH370 itu.

Beliau juga menjelaskan, isu MH370 ini juga telah mendedahkan beberapa lagi isu berbangkit, termasuk menyentuh soal sistem keselamatan negara.

Ianya termasuk isu penumpang yang boleh bolos biarpun menggunakan pasport palsu.

"Ini sekaligus boleh menjejaskan kempen Tahun Melawat Malaysia.

Speaker bagaimanapun menjelaskan penolakan itu dibuat dengan alasan bahawa ianya boleh dibangkitkan oleh Yang Berhormat dalam sesi perbahasan Titah Diraja, dan ianya juga telah disebut oleh speaker ketika sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat Selasa lalu.

Tiada ulasan: