Rabu, 19 Mac 2014

Catuan air peringkat pertama di Selangor & Wilayah berakhir

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kawasan-kawasan yang terlibat dengan program peringkat pertama pengagihan air berjadual di Selangor dan Kuala Lumpur kini telah menerima bekalan air berterusan setelah dua loji rawatan air (LRA) yang dihentikan operasi akibat pencemaran ammonia Sungai  Langat beroperasi semula.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) lewat petang ini, catuan bekalan air di beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang bermula 27 Februari lalu ekoran penutupan LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi kini berakhir.

"Berikutan hujan yang turun sejak dua hari lepas di sekitar Lembah Klang, paras ammonia dalam air mentah di Sungai Langat  telah didapati menurun.

"Sehubungan itu, operator loji iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) telah mengoperasikan semula kedua-dua LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masing-masing pada 17 Mac 2014 dan 19 Mac 2014.

"Untuk makluman, LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masing-masing mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 22 Juta Liter Sehari (JLH) dan 34 JLH memberikan jumlah besar sebanyak 56 JLH," kenyataan itu dipetik.

Menurut SPAN, sehingga kini paras ammonia di dalam air terawat di kedua-dua loji tersebut adalah kurang daripada piawaian yang disyaratkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sehubungan itu, SYABAS telah membekalkan air secara berterusan ke kawasan-kawasan yang terlibat di bawah Pengagihan Air Berjadual Peringkat Pertama.

Walau bagaimanapun, SPAN mengingatkan bahawa pengoperasian kedua-dua loji ini adalah bergantung kepada paras ammonia di dalam air mentah di Sungai Langat.

"Sekiranya paras ammonia ini meningkat semula, pengoperasian loji-loji ini akan dihentikan semula dan pengagihan air berjadual akan dilaksanakan semula seperti jadual yang telah ditetapkan terdahulu," kenyataan media itu dipetik.

Tiada ulasan: