Rabu, 19 Mac 2014

Keluarga penumpang warga China MH370 berang, serbu auditorium sidang media

OLEH LEE SHI-IAN


Seorang ahli keluarga penumpang MH370 warga China tidak dapat menahan kesedihan semasa diwawancara media di Hotel Sama Sama Hotel. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 19 Mac, 2014. 
Seorang ahli keluarga penumpang MH370 warga China tidak dapat menahan kesedihan semasa diwawancara media di Hotel Sama Sama Hotel. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 


Sekumpulan ahli keluarga warga China penumpang pesawat MH370 membuat kecoh  apabila menyerbu masuk ke dalam auditorium sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.

Kumpulan tersebut menyerbu masuk ke dalam auditorium di mana sidang media harian diadakan selepas tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang dituduh menyembunyikan maklumat dan mengelirukan orang ramai bagi usaha mencari dan menyelamat.

Masuk hari ke-12, ketegangan semakin memuncak ketika ahli keluarga cuba mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini kehilangan pesawat misteri tersebut.

"Tolong beritahu di mana anak saya, ke mana dia pergi," kata seorang wanita warga China dalam bahasa Mandarin.

Beberapa kad rentang dalam bahasa Mandarin juga dibawa kumpulan tersebut, meminta jawapan daripada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Malaysia Airlines (MAS) dalam satu kenyataan hari ini menyalahkan spekulasi liar sebagai punca tekanan dan kemarahan ahli keluarga penumpang penerbangan MH370 yang semakin hilang kawalan.

Usaha mencari MH370 yang membawa 239 penumpang masuk hari ke-12, bagaimanapun tiada sebarang petunjuk baru ditemui.

"Maklumat berkonflik dan spekulasi liar menyebabkan tekanan berat kepada keluarga," kata MAS dalam satu kenyataan media hari ini.

Ketegangan memuncak hari ini apabila anggota keluarga penumpang MH370 warga China kecewa dengan apa yang mereka katakan satu "peranan yang memalukan" bagi syarikat penerbangan itu dalam pencarian yang kini memasuki hari ke-12, lapor AFP.

"Kami tiada cara lagi untuk menangani masalah ini selain daripada menangis dan marah.

"Cara anda (MAS) menangani ini sama ada menipu atau satu peranan yang memalukan," kata seorang anggota keluarga penumpang pesawat hilang itu sambil menjerit.

Menurut AFP, insiden tersebut berlaku di mesyuarat harian antara pegawai syarikat dan anggota keluarga penumpang di hotel di Beijing, sementara usaha antarabangsa masih gagal menjumpai kesan pesawat yang membawa 153 warga China itu.

Pesawat MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dalam perjalanan ke Beijing.

Usaha mencari Mkini tertumpu di koridor utara dan selatan selepas pencarian di Laut Cina Selatan menemui kegagalan.

Koridor selatan berada di perairan Indonesia dan selatan Lautan Hindi, manakala koridor utara adalah menuju ke Turkmenistan, Kazakhstan serta utara Thailand.

Tiada ulasan: