Rabu, 19 Mac 2014

Jika Dr Wan Azizah menang besar


Oleh ABD SHUKUR HARUN


 Hanya beberapa hari saja lagi, tibalah hari mengundi PRK Kajang – 23 Mac ini – bahawa laporan yang dikumpulkan oleh Pakatan Pakatan Rakyat menunjukkan calon PKR/Pakatan Rakyat, setakat ini, telah mendapat sokongan melonjak daripada penduduk Kajang selepas berkempen selama beberapa minggu.

Ini hasil yang sangat menggalakkan oleh pihak Pakatan. Pertambahan sokongan pengundi Melayu, menurut pemerhati, terutamanya, berdasarkan tiga faktor. Iaitu faktor pertama, sokongan dan  kepercayaan kepada Pakatan Rakyat sendiri, berdasarkan pelbagai faktor – kenaikan harga barang yang sangat menjejaskan kehidupan rakyat, sukarnya untuk membeli rumah kerana mahal, isu rasuah yang berleluasa dan kehidupan pemimpin BN yang dilihat bermewah-mewah.

Faktor kedua, kekuatan peribadi terhadap calon PKR/Pakatan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dilihat memiliki sifat sebagai wanita dan isteri solehah.

Ketiga, simpati kepada beliau sendiri atas pelbagai ujian yang dihadapinya dan keluarganya berhubung dengan hukuman penjara lima tahun terhadap suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yakni pengaruh Anwar sendiri juga sangat besar.

Dr Wan Azizah akan berdepan dengan calon BN dari Wanita MCA, Chew Mei Fun dan ini tentunya menarik perhatian di mana kira-kira 50% daripada kira-kira 39,000 pengundi DUN Kajang adalah wanita.

Walaupun peluang Dr Wan Azizah begitu cerah, tetapi ada peringatan penting dari Timbalan Ketua Penerangan PAS Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menggesa jentera pilihan raya Pakatan mesti bekerja keras lagi.

Ini, katanya memandangkan masih ada tempat yang sukar untuk mengubah pendirian mereka yang sudah berusia dari menyokong BN kepada Pakatan.

Beliau mendakwa, habuan dan pelbagai bantuan yang disalurkan oleh BN turut menjadi satu batu penghalang untuk mendekatkan Pakatan kepada pengundi Melayu. Walau bagaimanapun, katanya, sudah ada perubahan dalam kalangan pengundi Melayu keseluruhannya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR untuk DUN Kajang, Zuraidah Kamaruddin berkata, data yang diperoleh daripada pejabat daerah mengundi Pakatan menunjukkan peningkatan sokongan Melayu berbanding pada 2013.

Menurutnya, sokongan Melayu kini di peringkat 45 peratus, Cina di peringkat 65 peratus manakala kaum India pula 55 peratus. Iaitu, sokongan pengundi Melayu kini meningkat lapan peratus berbanding tahun 2013.

Hari mengundi PRK Kajang 23 Mac ini dijangka akan menentukan berapa besar majoriti kemenangan calon PRK/Pakatan Rakyat,  Dr Wan Azizah Wan Ismail yang akan menghantar indikasi sokongan pengundi kepada Pakatan Rakyat.

Sementara itu, yang sangat menarik diperhatikan, jentera PAS, PKR dan DAP dilihat bekerjasama erat sejak hari penamaan calon lagi. Jentera PAS sendiri yang dipimpin oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli telah mengerahkan seluruh petugas PAS – siang dan malam – untuk berkempen. Petugas PAS dilihat sudah sampai ke kawasan pengundi Melayu, malah sudah dapat ‘menembusi’ kubu Umno di beberapa kampung di Kajang.

Sementara itu, jentera pilihan raya DAP juga sudah dikerahkan sepenuhnya, malah dikatakan sudah menembusi keseluruhan pengundi Cina yang kebanyakannya di bandar Kajang. Sementara jentera PKR bergerak keseluruhan kawasan Dun Kajang ini.

Perpaduan jelas kelihatan antara komponan parti dalam Pakatan dan berjaya ‘membenamkan’ perselisihan dalaman yang berlaku selama ini.

Sementara itu, Anwar Ibrahim menjadi daya tarikan utama dalam Kempen Pakatan. Ada ketikanya beliau bersama Dr Wan Azizah di pentas yang sama, tetapi ada ketikanya berrasingan.

Di Stadium Kajang, setiap malam diadakan ceramah dan program lain seperti konsert dan sebagainya yang dikelolakan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pimpinan Cikgu Bard. Stadium itu bersebelahan dengan Kompleks Satay Kajang yang masyhur itu dan sambutan di stadium itu sangat baik.

Dalam kempen PRK Kajang ini, dilihat kesungguhan luar biasa bekas Menteri Besar Selangor, Timbalan Ketua Penerangan PAS Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkempen siang dan malam.

Setakat ini, saya sempat mendengar dua kali ceramahnya di Kajang dan dilihat caranya berceramah begitu mempengaruhi rakyat. Ia bercakap dalam bahasa yang sangat biasa, hujahnya, dapat diterima oleh orang ramai dengan mudah baik orang kampung, mahupun orang bandar.

Memang tepat tanggapan dan harapan Anwar Ibrahim kepada Tan Sri Muhammad Muhd Taib ini bahawa tokoh ini sangat diperlukan untuk membantu Pakatan Rakat di Selangor dalam memperkukuh pengaruhnya, khususnya di luar bandar. Ini memandangkan ‘kepakarannya’ mendepani dan mempengaruhi penduduk luar bandar untuk menyokong Pakatan.

Oleh sebab itu, pada pendapat saya, Tan Sri Muhammad menjadi aset penting Pakatan Rakyat memang sangat wajar beliau diberikan peranan penting dalam usaha meningkatkan pengaruh Pakatan, khususnya di luar bandar, bukan saja di Selangor bahkan seluruh Malaysia.

Kini, semua pemimpin Pakatan Rakyat berada di Kajang, siang dan malam, secara bergilir-gilir, bilik gerakan PAS, PKR dan DAP sudah beroperasi siang dan malam.

Ini sebuah pilihan raya yang penting, walaupun ia berstatus pilihan raya kecil, namun sangat significant dan menjadi kayu ukur kepada sokongan rakyat kepada Pakatan, terutama sesudah Anwar dijatuhkan hukuman lima tahun penjara.

Jika calon Pakatan Rakyat mendapat kemenangan besar di Kajang ini, bermakna harapan untuk mencapai kemenangan lebih besar dalam PRU akan datang sangat cerah.

Maknanya, ini petunjuk awal yang sangat bermankna yang  memerlukan semua pendukung Pakatan Rakyat mengekalkan perpaduan, bekerja keras dengan bijaksana dan memikirkan jangka panjang politik Malaysia.

Dengan keadaan dan suasana negara yang tidak menentu sekarang, kenaikan harga barang yang sangat meresahkan rakyat, nama baik  negara yang terjejas akibat pelbagai peristiwa yang berlaku.
Demikian juga, terutamanya peristiwa besar - kehilangan pesawar MH370 yang belum dijumpai ketika rencana ini ditulis, serta kemunculan raja bomoh sedunia di KLIA secara tiba-tiba baru-baru ini yang menjadi bahan tertawaan dunia dan pelbagai lagi menyebabkan suasana dilihat memihak kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kuasa dalam PRU akan datang.

Maka itu, pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat jangan sekali-kali melakukan kesilapan, antaranya, dengan membuat kenyataan yang bukan saja bercanggah antara satu sama lain bahkan tidak mengikut keputusan parti.

Tiada ulasan: