Isnin, 27 Januari 2014

Tekanan pelbagai pihak, Sinar Harian batal debat kalimah Allah

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Program Wacana Sinar siri ke-26 berkenaan isu kalimah Allah dibatalkan setelah mengambil kira pandangan banyak pihak. - Gambar fail.Program Wacana Sinar siri ke-26 berkenaan isu kalimah Allah dibatalkan setelah mengambil kira pandangan banyak pihak. - Gambar fail. 


Akhbar Sinar Harian malam tadi memaklumkan debat isu kalimah Allah di antara dua tokoh politik iaitu Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad terpaksa dibatalkan ekoran menerima tekanan daripada pelbagai pihak.

Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf Datuk Abdul Jalil Ali berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti pandangan badan bukan kerajaan (NGO), tokoh agama dan individu yang prihatin terhadap penganjuran debat tersebut.

“Kami memahami perasaan dan sentimen umum semasa. Justeru, kami mengambil keputusan ini setelah meneliti nasihat tokoh agama, beberapa NGO dan mereka yang prihatin.

“Pandangan dan nasihat telah disuarakan pelbagai pihak menerusi akhbar, media sosial, e-mel dan surat yang dihantar ke pejabat Sinar Harian,” katanya seperti dilapor portal berita tersebut.

Akhbar itu turut memohon maaf kepada pihak yang sudah bersedia untuk mengikuti wacana itu namun menurut keputusan itu dibuat atas semangat keharmonian dan perpaduan.

Sinar Harian melaporkan pada Sabtu program debat itu tetap akan diteruskan seperti yang dijadualkan meskipun sebelumnya NGO Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak akhbar itu untuk membatalkan acara berkenaan.

Pengarah Eksekutif Sinar Harian, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi memberi jaminan majlis itu akan berlangsung dengan lancar dan terkawal setelah ia dilaporkan akan diadakan secara tertutup, tidak seperti kebiasaannya.

“Kami percaya kedua-dua ahli panel yang terlibat akan mengupas kontroversi itu dari sudut perundangan," katanya.

Program Wacana Sinar Siri-26 yang bertajuk “Perdebatan Hujah Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Undang-Undang” dijadualkan berlangsung hari ini di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam pada jam 2.30 petang.

Moderator yang dijemput bagi mengendalikan debat itu ialah pensyarah dan pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Madya Dr Sham Rahayu Abd Aziz.

Abim pada Jumaat mendesak Sinar Harian membatalkan debat berkenaan kerana pertikaian isu tersebut masih belum didengar di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, debat itu tidak dapat menyelesaikan polemik kalimah Allah kerana isu tersebut seharusnya dibincangkan oleh kumpulan ilmuan yang sentiasa berlapang dada dan mengambil pendekatan bersederhana.

Katanya, perdebatan yang melibatkan dua tokoh politik tidak akan memberi sebarang jalan penyelesaian bahkan bertambah buruk apabila isu yang bersifat teologi akan diheret kepada perkara yang lebih sensitif melibatkan perundangan dan institusi raja.

Tiada ulasan: