Rabu, 1 Januari 2014

SPAD umum atau tidak, tambang tetap naik, kata pengusaha bas sekolah

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Pengusaha bas sekolah bertekad mahu menaikkan tambang bas sekolah sehingga 40% mulai esok. - Gambar The Malaysian Insider, 31 Disember, 2013. 
Pengusaha bas sekolah bertekad mahu menaikkan tambang bas sekolah sehingga 40% mulai esok. - Gambar The Malaysian Insider.



Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) tetap akan menaikkan surcaj tambang bas sekolah bermula Januari ini sehingga 40% walaupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih tidak membuat keputusan tentang tambang baru bas sekolah.

Presiden PPBSM Amali Munif Rahmat berkata kenaikan itu merupakan satu keperluan setelah kerajaan mengumumkan kenaikan harga diesel sebanyak 20 sen pada September.

“Surcaj tambang bas sekolah akan dinaikkan sehingga 40% tetapi ia tertakluk kepada rundingan di antara pengusaha dan ibu bapa. Ada juga pengusaha yang hanya mahu menaikkan sekitar RM5 ke RM10 buat permulaan sehingga SPAD mengumumkan kadar tambang bas sekolah baru.

“Kerajaan mengurangkan subsidi diesel sebanyak 20 sen iaitu peningkatan kos sebanyak 13.5%.
Apabila kos sara hidup semakin tinggi, pemandu bas sekolah juga mahu pendapatan mereka meningkat. Mereka mahu pendapatan dinaikkan kepada 10%. Jika kedua-dua kos itu dijumlahkan, ia meningkat kepada 23.5%,” katanya kepada The Malaysian Insider.

September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan diesel dan petrol RON95 dinaikkan 20 sen seliter sebagai langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Katanya, pada masa ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, menjadikan kedua-dua harga bahan bakar itu meningkat kepada RM2.10 seliter bagi RON95 dan RM2.00 seliter bagi diesel.

Amali berkata surcaj 40% yang dicadangkan oleh PPBSM itu sebenarnya tidak membebankan ibu bapa kerana pada hakikatnya pihak penjaga hanya menanggung kenaikan sebanyak 90 sen sehari sepanjang sebulan hari persekolahan.

Katanya, pengusaha bas ekspres masih menikmati surcaj tambang 10% sejak diumumkan kerajaan pada musim perayaan beberapa tahun lalu, sebaliknya pengusaha tambang sekolah tidak diberikan insentif sama.

“40% surcaj tambang bas sekolah dibahagikan kepada 44 kali murid menaiki bas dalam tempoh 22 hari persekolahan setiap bulan. Jika dibahagikan, kenaikan itu hanya 0.8% atau 90 sen sehari. Perkhidmatan kami untuk satu bulan dan bukannya sehala.

“Sekarang surcaj 10% kepada bas ekspres. Kenapa beri kepada mereka, tidak kepada bas sekolah? Sebab pemiliknya orang kaya? 10% surcaj bas ekspres dikenakan setiap kali mereka manaiki bas,” katanya.

Pengurus SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata SPAD telah mengadakan pertemuan bersama persatuan pengusaha bas sekolah pada minggu lalu tetapi maklumbalas daripada hasil perbincangan itu masih belum diperoleh.

Katanya, berdasarkan rundingan bersama pihak ibu bapa, mereka menggesa SPAD memperkenalkan harga lantai agar satu rundingan kadar tambang dapat dilakukan bersama pihak pengusaha.

Amali mengakui pihaknya ada berbincang dengan pihak SPAD dan suruhanjaya itu mahu memperkenalkan kadar tambang fleksibel berdasarkan garis panduan yang akan diumumkan kelak.

“Minggu lalu, satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Operasi SPAD Azhar Ahmad telah diadakan dan mereka mengemukakan cadangan kadar tambang fleksibel. Kita tidak ada masalah. Mereka ada garis panduan yang akan diumumkan nanti berdasarkan persetujuan ibu bapa," katanya.

Beliau berkata SPAD sendiri pernah menyatakan pada Ogos tahun lalu bahawa pengusaha bas sekolah mengalami kerugian sebanyak 40% tetapi tiada insentif yang diperkenalkan bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, skim insurans kepada murid sekolah tidak harus diperkenalkan kerajaan kerana peruntukan yang diumumkan lebih sesuai digunakan bagi menggantikan bas sekolah baru.

“Kita telah menghantar memorandum kepada SPAD sejak 2011 bagi memperkenalkan insentif mengurangkan kos operasi tetapi tiada tindakan yang diambil. Apa usaha mereka untuk bantu pengusaha bas sekolah? Insurans kepada murid tidak perlu kerana pengusaha bas sekolah telah membiayai insurans pelajar.

“Kadar kemalangan bas sekolah juga kurang dari 2%. Jika peruntukan RM40 juta yang diumukan kerajaan semasa Bajet 2013 digunakan bagi menggantikan bas sekolah, sebanyak 125 buah bas sekolah dapat digantikan. Pada masa ini, sebanyak 3,000 buah bas yang patut diganti setelah usia melebihi 30 tahun,” katanya.

Amali tidak menafikan bahawa ada pengusaha bas sekolah yang menaikkan tambang lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan kerajaan, tetapi ia satu perkhimatan tambahan yang dipersetujui ibu bapa.

“Sebagai contoh bas di sekolah antarabangsa, tambang basnya RM800 setiap bulan dan dikutip oleh pihak sekolah. Bas sekolah dilengkapi tali pinggang keledar, pembantu, sistem kamera litar tertutup (CCTV) bas di sambung ke sekolah dan menggunakan kad akses,” katanya.

Syed Hamid dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider sebelum ini berkata terdapat pengendali bas sekolah yang tidak mengikut tambang ditetapkan SPAD, malah ada yang mengadakan perjanjian bersama ibu bapa bagi menetapkan kadar tambang sendiri.

Beliau berkata kenaikan tambang bas sekolah mesti selaras dengan perkhidmatan dan bas sekolah yang melebihi 30 tahun perlu ditukar setelah kerajaan menyediakan insentif bagi berbuat demikian.

Katanya, persatuan bas sekolah perlu berhenti mengeluarkan kenyataan di akhbar bagi meminta kenaikan tambang sebaliknya perlu memikirkan cara meningkatkan kualiti perkhidmatan bas sekolah semasa kepada pengguna.

Awal bulan ini, PPBSM sebulat suara mahu menaikkan tambang bas sekolah sehingga 40% berkuatkuasa Januari 2014 jika SPAD tidak mengumumkan kenaikan kadar baru sehingga hujung tahun ini.

Amali berkata kadar baru itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai kos yang perlu ditampung pengusaha bas di bawah naungan PPBSM.

Katanya, jika SPAD tidak meluluskan kenaikan itu, ia dikhuatiri menjejaskan operasi PPBSM terhadap lebih sejuta murid yang menggunakan perkhidmatan mereka

Tiada ulasan: