Jumaat, 17 Januari 2014

Rampas Bible: Khalid persoal motif Pengerusi Mais

SAIDAH HAIRAN 


SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang merampas Bible bahasa Melayu dari pejabat Persatuan Bible Malaysia (BSM) atas alasan menyekat agama Kristian daripada disebarkan kepada orang Islam.

Ini kerana katanya, Bible dengan cop Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dirampas ketika dalam simpanan BSM di pejabat persatuan itu dan bukannya dirampas ketika cuba diedarkan kepada orang Melayu Islam.

Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan Jais itu sebahagian daripada strategi pihak tertentu bagi mewujudkan ketegangan antara penganut Islam dan bukan Islam di negeri ini.

"Saya ingin bertanya kepada Pengerusi Mais (Majlis Agama Islam Selangor), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa yang membuat kenyataan tindakan merampas Bible itu tidak perlu mendapat kelulusan atau dimaklumkan kepada Menteri Besar dan Exco Hal Ehwal Islam," katanya.

Khalid turut mempersoalkan motif Pengerusi Mais (gambar, kiri) ketika mengeluarkan kenyataan tersebut yang seolah-olah “melaksanakan strategi politik Umno” sehingga sanggup mengetepikan Menteri Besar dan Exco Hal Ehwal Islam negeri.

"Saya minta Mais menghormati pilihan rakyat dan exco Agama Islam yang kita lantik iaitu Ustaz Sallehen Mokhyi yang berkelulusan sarjana dalam bidang syariah Islam," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menggesa Adzib mengambil pengajaran daripada insiden serbuan gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) Petaling Jaya yang tidak menguntungkan mana-mana pihak dan dakwaan kononnya wujud usaha menyebarkan agama Kristian kepada beberapa individu muslim gagal dibuktikan.

Beliau turut menyentuh isu penyelesaian 10 perkara yang memberi kebenaran kepada penganut Kristian mengimport dan mencetak Bible dalam bahasa Melayu ke Semenanjung.
"Ini merupakan strategi politik Umno untuk mendapatkan sokongan daripada orang bukan Islam dan hendak tunjuk Umno parti yang baik dan menghormati agama lain," tegasnya.

Bagaimanapun kata beliau, selepas pilihan raya umum (PRU) 2013, Umno kembali kepada pendekatan melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam selepas mendapati sokongan daripada kalangan bukan Melayu kepada Umno-BN merosot teruk.

Tiada ulasan: